Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 6 Ogos 2009-Update 1


Pada 6 Ogos 2009 sejumlah 16 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan dan semua kes adalah kes tempatan. Enam belas (16) kes adalah warga negara Malaysia. Daripada 16 kes yang dilaporkan hari ini, 5 merupakan kejadian dari 2 kluster baru dan 11 kes sporadik atau terpencil. Dilaporkan terdapat tiga (3) kematian dari kes yang dilaporkan pada 2 Ogos dan 4 Ogos 2009 dan kesemua adalah kes sporadik.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 6 Ogos 2009 jam 8.00 pagi adalah sebanyak 1,492 kes dengan jumlah kematian 14 orang. Daripada 1,492 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (38%) merupakan kes import dan 918 (62%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,421 kes (95%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 11 orang. Manakala 43 kes sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Daripada 11 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post -delivery (1) dan bayi (2).

Daripada 16 kes baru yang dilaporkan, sembilan (9) kes dirawat di wad dan 7 orang menerima rawatan pesakit luar.

Maklumat mengenai tiga (3) kes kematian adalah seperti berikut:

Kematian ke-duabelas, kes adalah seorang budak lelaki berumur 6 tahun yang dimasukkan ke Hospital Batu Pahat pada 24 Julai 2009. Beliau mula menunjukkan gejala demam dan batuk pada 24 Julai 2009 dan dimasukkan ke hospital swasta. Pesakit dirujuk ke Hospital Batu Pahat pada 30 Julai 2009 kerana mengalami jangkitan radang paru-paru teruk (worsening pneumonic changes) dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 1 Ogos 2009 dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi ICU dengan bantuan pernafasan (ventilator) dan meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dengan diagnosa H1N1 pneumonia.

Kematian ke-tiga belas, kes adalah seorang budak lelaki berumur 6 tahun dengan gejala demam, sakit tekak dan selsema pada 24 Julai 2009 telah mendapat rawatan di klinik swasta. Pesakit telah mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 31 Julai 2009. Kes disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 2 Ogos 2009 dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi pada 31 Julai. Pesakit meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 jam 12.45 petang.

Seorang pesara lelaki yang berumur 57 tahun yang mengidap penyakit diabetes dan hypertension dimasukkan ke unit rawatan rapi ICU Hospital Putrajaya pada 4 Ogos 2009 dengan riwayat demam, batuk dan sesak nafas. Kes telah disahkan jangkitan H1N1 pada 5 Ogos 2009. Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 akibat dari Acute Pulmonary Oedema secondary to H1N1.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 6 Ogos 2009, sejumlah 199,146 kes dengan 1,446 kematian telah dilaporkan daripada 171 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 5460 kes dengan 85 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Saya ingin sekali lagi menegaskan di sini bahawa

Seperti yang ditetapkan oleh JK Teknikal, semua ujian pengesahan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan HANYA akan dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke wad sahaja. Orang awam diminta jangan panik, mereka yang ada gejala ILI diminta berehat di rumah dan mematuhi nasihat kesihatan.

Semua pesakit yang tergolong dalam kategori berisiko seperti ibu mengandung, obes, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung, adalah diminta mendapat pemeriksaan segera di hospital.

Untuk mereka yang mengalami ILI ringan ujian pengesahan H1N1 adalah TIDAK perlu. Untuk makluman Institut Penyelidikan Perubatan menerima 300-500 permohonan ujian H1N1 dalam sehari, tetapi kebanyakannya adalah negatif (80%-90%). Perkara ini membebankan dan membazir. Ini mengukuhkan lagi saranan kita bahawa mereka yang bergejala ringan tidak perlu membuat ujian H1N1. Kita minta kerjasama dari hospital swasta supaya menghantar kes-kes yang benar-benar disyaki H1N1 untuk ujian pengesahan.

Semua hospital kerajaan dan 22 hospital swasta telah dibekalkan dengan ubat anti-viral. Sementara semua klinik kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan akan dibekalkan dengan ubat anti-viral bermula esok 7 Ogos 2009.

Klinik Swasta boleh membeli ubat anti-viral dari syarikat farmasi yang berkaitan yang telah memberi jaminan bahawa mereka mempunyai stok yang mencukupi.

Pegawai Farmasi diminta supaya tidak menjual ubat anti-viral dengan sewenang-wenangnya tanpa preskripsi. Pengamal perubatan juga diminta untuk TIDAK memberi ubat antiviral sebagai ‘prophylaxis’ dan perlu mengikut indikasi dan garis panduan yang ditetapkan . Untuk prophylaxis, ianya tidak berkesan di samping kesan sampingan yang boleh dihasilkan dan juga boleh membawa pembentukan ‘resistance’ seperti yang berlaku di Amerika, Hong Kong, Mexico, Japan, Denmark, Canada, yang mana akan menyusahkan kepada mereka dan juga orang lain.

Untuk anggota perubatan dan kesihatan sama ada di sektor kerajaan atau swasta, mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan memberi perhatian serius kepada ‘infection control’, termasuk PPE dan kebersihan tangan dan lain-lain
Penularan virus influenza A(H1N1) di dalam komuniti telah semakin meluas. Ia ditunjukkan oleh kehadiran ramai pesakit ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan demam dan batuk. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:

Mereka yang berisiko tinggi (ibu mengandung, obes, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung) dan sedang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit dengan jangkitan virus influenza A(H1N1) jika sekiranya rawatan dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas bermula gejala. Rawatan tidak memerlukan ujian pengesahan makmal dan bagi klinik kerajaan rawatan adalah percuma.

Selepas mendapat rawatan, pesakit adalah perlu berada di rumah dan mengurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik. Amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang mengalami gejala ringan jangkitan influenza A(H1N1) yang telah dinasihatkan oleh doktor untuk duduk di rumah perlu mematuhi nasihat tersebut kerana amalan ini boleh mencegah perebakan virus influenza ini kepada orang lain. Jika terpaksa pergi ke tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti memakai topeng muka atau mask jenis ‘three ply’ yang didapati boleh mencegah penularan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang telah dinasihatkan untuk duduk di rumah semasa rawatan agar sentiasa memantau tahap kesihatan sendiri. Sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam yang berterusan, sakit dada, sesak nafas, atau `altered conciousness’ sila segera mendapatkan rawatan di hospital.

Orang ramai yang mengetahui wujudnya kejadian kluster influenza-liked illness (ILI) di sekolah, institusi dan komuniti, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk siasatan dan tindakan kawalan.

Terdapat majikan yang tidak menyediakan ‘mask’ bila terdapat keperluan untuk pekerja mereka. Majikan hendaklah sama-sama membantu menyediakan ‘mask’ bagi pekerja-pekerjanya apabila keadaan memerlukan, sebagai salah satu ‘sosial obligation’ serta keprihatinan terhadap pekerja masing-masing.
Adalah dimaklumkan waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Bagi mereka yang memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 6 Ogos 2009

Video Pencegahan Influenza A (H1N1)

gravatar

Rantong,
Terima kasih kerana mengingat Umat Islam tentang hal ni...

Members of