Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 19 Ogos 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 67


Dimaklumkan sehingga 19 Ogos 2009 jam 9.00 pagi sejumlah 1468 pesakit influenza like illness(ILI) sedang dirawat di 86 buah hospital termasuk 6 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah tersebut, 257 telah disahkan positif H1N1. Pada masa yang sama seramai 134 kes telah di discaj.

Dari 257 kes yang disahkan H1N1, 36 kes berada di ICU dimana 7 kes merupakan kemasukan baru sementara 4 kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 kes (58%) mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (5), penyakit kronik (4), asma (3), hamil dan bersalin (3), obesiti (2), kanak-kanak istimewa (2) dan kanak – kanak di bawah setahun (2).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) dilaporkan pada hari ini.

Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A(H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan influenza A(H1N1). Berikut adalah saranan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan penyakit ini :-

  1. Orang ramai yang mempunyai simptom influenza perlulah lebih bertanggungjawab untuk tidak mengunjungi tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta menaiki kenderaan awam. Perbuatan ini boleh menularkan jangkitan influenza A(H1N1) kepada orang awam dan kebimbangan adalah jangkitan kepada mereka dari kumpulan berisiko.

  2. Mereka yang bersimptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada dirumah atau jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tiada bersimptom lagi.

  3. Sekiranya mereka yang bersimptom tapi perlu juga melakukan aktiviti luar rumah yang amat mustahak, mereka mestilah memakai topeng muka dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan sekali lagi bahawa rawatan antiviral hanya diberikan kepada 3 kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

  1. Individu yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) dan mempunyai faktor risiko.

  2. Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

  3. Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

Orang ramai juga terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggiuntuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03- 88810200 dan 03- 88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my danhttp://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 19 Ogos 2009

Members of