Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 13 Ogos 2009 - Update 6



Untuk makluman, terdapat seramai 51 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 29 lagi dirawat di ICU. Daripada 29 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 16 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (12), obesiti (2), hamil (1) dan post-delivery (1). Terdapat sejumlah 7 kematian yang dilaporkan.

Untuk makluman, 7 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu di antara 7 – 11 Ogos 2009. Kesemua mereka didapati mempunyai faktor risiko samada diabetes, hipertensi, penyakit jantung, imuniti yang rendah atau penyakit kongenital. Tujuh (7) kematian tersebut berlaku pada tarikh berikut; 7 Ogos (1 kematian), 10 Ogos (2 kematian) dan 11 Ogos (4 kematian). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:-

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 bulan mempunyai tahap imuniti yang rendah dimasukkan ke hospital pada 8/8/09 kerana demam, batuk, susah bernafas, muntah dan cirit birit selama 2 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi pada 9/8/09. Beliau telah meninggal dunia pada 10/8/09 dan kematian disebabkan oleh severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 11/8/09.

Seorang wanita berumur 37 tahun, mempunyai sejarah diabetis, dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam dan batuk selama 3 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi 9/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 akibat daripada severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 11/8/09.

Seorang wanita berumur 69 tahun dan mempunyai hipertensi. Mula mendapat simptom batuk dan susah bernafas pada 2/8/09. Beliau dimasukkan ke CCU 3/8/09 kerana sesak nafas. Sampel swab tekak telah diambil pada 10/8/09 dan disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada hari yang sama (10/8/09). Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 kerana “acute myocarditis” akibat jangkitan influenza A(H1N1).

Seorang wanita berumur 26 tahun, dan mempunyai penyakit kongenital. Mula mendapat simptom demam dan batuk pada 6/8/09. Beliau mendapatkan rawatan di hospital pada 8/8/09 dan dimasukkan ke wad serta diberi antiviral pada hari yang sama. Swab tekak telah diambil pada 8/8/09 dan sahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada hari yang sama. Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 10/8/09 kerana mengalami “severe bronchopneumonia”.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun dan mengalami penyakit kongenital. Mendapat rawatan di klinik pada 2/8/09 batuk, sakit tekak dan selsema selama satu hari. Dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital akibat sesak nafas pada 6/8/09. Swab tekak diambil dan rawatan antiviral telah dimulakan pada awal 7/8/09 jam 00:30 pagi. Disahkan meninggal dunia dan mendapat jangkitan influenza pada 7/8/09 jam 04:58 akibat pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang wanita berumur 92 tahun merupakan pengidap asthma. Mengalami demam dan susah bernafas sejak 6/8/09 dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama. Swab tekak diambil dan antiviral diberikan pada 9/8/09. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 kerana mengalami “severe pneumonia”.

Seorang lelaki berumur 43 tahun merupakan pengidap diabetes, hipertensi dan penyakit injap jantung. Beliau dimasukkan ke wad pada 6/8/09 kerana demam, batuk dan sakit tekak selama 4 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi pada 6/8/09. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 8/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 akibat severe pneumonia.

Saya menasihatkan semua ibubapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

Seperti yang telah dinyatakan di dalam kenyataan akhbar YBMK semalam, tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir. Sekolah tidak semestinya ditutup apabila berlaku kejadian influenza-like illness (ILI) di kalangan pelajar atau guru. Mereka ini sepatutnya diminta pulang ke rumah masing-masing dan mendapatkan rawatan segera. Mereka juga tidak perlu hadir kelas sehingga simptom berakhir. Aktiviti pembelajaran di sekolah atau institusi terbabit diteruskan seperti biasa. Walau bagaimanapun, tindakan penutupan boleh diambil oleh pihak sekolah/institusi jika kehadiran pelajar amat merosot dan menggangu aktiviti pembelajaran.

Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 13 Ogos 2009

Members of