Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 12 Ogos 2009 - Update 5


Untuk makluman, terdapat seramai 76 pesakit sedang dirawat di hospital dan 21 lagi dirawat di ICU. Daripada 21 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 12 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (1) dan post-delivery (1). Seramai 86 orang telah didiscaj dari hospital semalam. Terdapat sejumlah 6 kematian yang dilaporkan.

Untuk makluman, 6 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu dan telah mendapat jangkitan influenza A(H1N1) di antara 6 – 9 Ogos 2009 dan dilaporkan pada 11 Ogos 2009 sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Empat (4) daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau obes. Tarikh kematian sebenar 6 kes tersebut adalah seperti berikut, 7 Ogos(4 kematian), 9 Ogos(1 kematian) dan 10 Ogos(1 kematian). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:-

Seorang lelaki berumur 60 tahun, mempunyai sejarah diabetes, hipertensi dan masalah jantung dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam dan batuk selama 3 hari. Swab tekak dan antiviral diberi pada 6/8/09. Beliau telah meninggal dunia pada 7/8/09 dan kematian disebabkan oleh severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang lelaki berumur 62 tahun, mempunyai sejarah diabetes, dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam selama 1 hari. Mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan pemeriksaan mendapati pesakit kurus dan mengalami dehidrasi dan rawatan antiviral telah dimulakan. Sampel sapuan tekak telah diambil pada 7/8/09 dan meninggal dunia pada hari yang sama akibat daripada severe pneumonia dan kemungkinan menghidapi barah. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang lelaki berumur 24 tahun, tiada sejarah dan risiko penyakit. Mula mendapat simptom demam, batuk dan sakit tekak pada 1/8/09 dan hanya mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan terus dimasukkan ke wad kerana sesak nafas dan rawatan antiviral telah dimulakan. Sampel sapuan tekak telah diambil pada 7/8/09 iaitu pada tarikh yang sama pesakit meninggal dunia. Penyebab kematian adalah severe pneumonia dan septicemia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09.

Seorang bayi perempuan berumur 10 bulan, tiada sejarah penyakit kongenital. Mula mendapat simptom demam dan batuk pada 1/8/09 dan hanya dibawa mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan terus dimasukkan ke wad kerana sesak nafas. Rawatan antiviral tidak diberikan dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 6/8/09 dan telah disahkan meninggal dunia pada 7/8/09 kerana mengalami severe bronchopneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 8/8/09.

Seorang suri rumah berumur 18 tahun dan mengandung 26 minggu dan mempunyai co-morbid iaitu obesiti. Mula mendapat simptom batuk, sakit tekak dan selesema pada 3/8/09 dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan pada hari yang sama. Walau bagaimanapun keadaan bertambah teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital akibat sesak nafas pada 7/8/09. Rawatan antiviral telah dimulakan pada hari yang sama dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 9/8/09. Disahkan meninggal dunia dan mendapat jangkitan influenza pada 10/8/09. Penyebab kematian ialah severe pneumonia.

Seorang bayi lelaki berumur 12 bulan dan disahkan mengalami penyakit jantung kongenital dan baru menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sebelum di rujuk ke Hospital untuk rawatan lanjut pada 7/8/09. Pada hari yang sama mendapat demam dan sawan. Rawatan antiviral tidak diberikan dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 8/8/09 dan disahkan meninggal dunia pada 9/8/09 kerana mengalami komplikasi pembedahan jantung dan jangkitan pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza Bil. 11/2009 yang diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memutuskan perkara-perkara berikut:-

Rawatan Antiviral Influenza

Semua pesakit yang bersimptom influenza dan mempunyai risiko adalah diminta segera mendapat rawatan antiviral influenza di mana-mana hospital atau klinik yang berdekatan. Di fasiliti kerajaan rawatan adalah percuma.

Individu yang sakit dengan simptom influenza, tidak termasuk dalam golongan berisiko tetapi mempunyai demam yang tinggi dan berpanjangan (lebih 2 hari) juga akan diberikan rawatan. Oleh itu mereka perlu memantau simptom demam yang berpanjangan untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Bagi mereka yang tidak termasuk di dalam golongan (a) dan (b) di atas, dan telah menjalani ujian “rapid test” serta positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam. Simptom yang dimaksudkan adalah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, cirit-birit atau muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau rasa pening kepala apabila berdiri.

Pandemik influenza A telah memasuki fasa mitigasi, oleh itu tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan akhir. Tindakan penutupan sekolah/ institusi hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah/ institusi bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah/ institusi/ kelas. Pihak sekolah/ institusi boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Tindakan yang perlu diambil adalah:

Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala ‘infleunza like illness’ tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.

Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

Rawatan oleh Klinik dan Hospital Swasta

Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus. Untuk makluman, rawatan kes-kes ini tidak terhad kepada ‘designated’ hospital sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi juga boleh memberi rawatan.

Penutup Mulut dan Sanitizer

Saya meminta supaya pihak pengeluar, pembekal dan penjual penutup mulut dan sanitizer agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Penutup mulut dan sanitizer ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza A(H1N1) dalam masyarakat. Saya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memantau perkara ini.

Vaksin dan Tamiflu

Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa vaksin dan antiviral adalah berbeza. Antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) yang diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) yang diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan influenza A(H1N1) dan ianya bukan vaksin. Vaksin untuk Influenza A(H1N1) masih belum ada sama ada di Malaysia atau di dunia.
Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SERI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

Tarikh: 12 Ogos 2009

Members of