Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 25 Ogos 2009

Kes Kematian : Satu
Jumlah Kematian : 70


Hari ini sejumlah 52 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa yang sama sejumlah 162 pesakit ILI telah didiscaj keluar menjadikan baki seramai 1,345 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 82 buah hospital termasuk 1 hospital swasta di seluruh negara. Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 202 pesakit (15%) yang disahkan positif H1N1.

Dari 202 kes yang disahkan H1N1, 42 kes berada di ICU di mana 5 kes merupakan kemasukan baru, terdapat 2 kematian sementara 2 lagi kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 38 kes (95%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (15), obesiti (9), diabetes (6), kanak-kanak/bayi (3), hamil/postnatal (3) dan Sindrom Down (2).

Untuk makluman, satu kematian didaftarkan pada hari ini setelah disahkan oleh Jawatankuasa Semakan Kematian (Mortality Review Committee). Kes ini melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun. Beliau mendapatkan rawatan awal pada 12 Ogos 2009 di hospital kerana kejadian demam sawan bersama batuk selama 2 hari. Pada 13 Ogos 2009 keadaan pesakit semakin tenat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan rawatan tamiflu dimulakan. Hasil ujian makmal mendapati kes positif influenza A (H1N1) pada 17 Ogos 2009. Walaubagaimanapun beliau meninggal dunia pada 18 Ogos 2009 dengan sebab kematian H1N1 Encephalitis with Cerebral Odema and Multiorgan Failure.

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan jumlah kes yang sehingga 25 Ogos 2009 adalah berjumlah 239,397 dengan 2,578 kematian dan ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182. Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes.

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Memandangkan cuti sekolah telah bermula, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menggesa ibu bapa supaya mengawasi pergerakkan anak-anak mereka supaya mengelak dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai seperti bazaar Ramadhan, rumah ibadat, majlis keramaian, majlis buka puasa atau pusat-pusat membeli-belah, stesen-stesen pengangkutan awam dan pawagam. Ini adalah penting untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada jangkitan daripada individu-individu yang mengalami simptom influenza di tempat awam.

Ibu bapa mesti bertanggungjawab memastikan anak-anak yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam. Selain ibu bapa, individu yang mempunyai gejala ILI walaupun simptom kelihatan ringan, bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak. Ini adalah kerana seorang yang bersimptom jangkitan ILI, masih menyebarkan virus tersebut melalui batuk atau bersinnya, atau cairan daripada batuk atau bersin, walaupun mereka hanya kelihatan mengalami gejala demam dan batuk yang ringan.

Langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah memastikan mereka yang bergejala supaya berehat di rumah. Ini bertujuan untuk mengurangkan penularan kepada orang awam terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Sekiranya mereka yang mempunyai gejala terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti sentiasa memakai mask sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul atau tong sampah serta basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain. Hanya dengan sikap bertanggungjawab dan kerjasama orang ramai sahajalah penularan penyakit ini dapat dibendung.

Orang awam juga perlu saling menasihati agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam, langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah berehat di rumah.

Satu sesi dialog antara Y.B. Menteri Kesihatan dengan para pengamal perubatan swasta mengenai pengendalian kes Influenza-like Illiness (ILI) yang di syaki Influenza A(H1N1) telah dijadual akan diadakan pada 27 Ogos 2009, pada jam 2.30 petang di Bilik Gerakan KKM, Aras 4, Blok E7, Parcel E, Putrajaya.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia meminta orang ramai terus memberi kerjasama berterusan untuk menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 25 Ogos 2009

Members of