Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 14 Ogos 2009 - Update 7


Untuk makluman, terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di ICU. Daripada 27 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4),kanak-kanak (2), hamil (1) dan post-delivery (1). Terdapat sejumlah 5 kematian yang dilaporkan.

Empat(4) daripada kes kematian mempunyai faktor risiko, iaitu obes, diabetes dan TB paru-paru (1 kes ), Diabetes(1 kes) dan bayi (2 kes). Untuk makluman, 5 kematian tersebut berlaku pada 8 Ogos (1kes),11 Ogos (2 kes) dan 12 Ogos (2 kes). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:

Seorang bayi lelaki berumur 2 bulan merupakan seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan iaitu pada usia kandungan 27 minggu, dimasukkan ke hospital pada 3/8/09 kerana demam, batuk, selsema dan susah bernafas selama tiga hari. Keadaan bayi semakin teruk dan telah diventilasi. Swab tekak telah diambil dan rawatan antiviral telah diberikan pada 6/8/2009. Bayi meninggal dunia pada 12/8/2009 dan ujian Influenza A(H1N1) adalah positif. Penyebab kematian adalah pneumonia.

Seorang lagi bayi berumur 2 bulan dimasukkan ke hospital pada 7/8/2009 setelah didapati berada dalam keadaan tidak memberikan tindakbalas serta pucat. Sebelum dari itu, bayi tersebut telah mula meragam dan kurang minum susu semenjak 5/8/2009 tetapi tidak mempunyai demam, batuk atau sesak nafas. Keadaan bayi adalah kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawaan Rapi. Keputusan ujian Influenza A(H1N1) didapati positif pada 8/8/2009, walaubagaimanapun, bayi tersebut telah meninggal dunia pada hari yang sama. Sebab Myocarditis, hepatitis and renal impairment related to H1N1.

Seorang wanita berumur 49 tahun, selain dari obes, beliau mempunyai diabetes dan dikesan juga mempunyai tuberkulosis. Beliau mula mendapat demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas pada pertengahan bulan Julai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital pada 29/7/2009 setelah tidak pulih walaupun telah mendapatkan rawatan dari klinik swasta. Beliau yang dirawat sebagai pneumonia telah di benarkan pulang pada 3/8/2009, walaubagaimanapun dimasukkan semula ke wad pada 7/8/2009 untuk rawatan tuberculosis setelah dikesan mempunyai penyakit tersebut. Bilau kemudiannya disyaki H1N1 dah telah diberi antiviral pada 8/8/2009. Keadaan pesakit bertambah teruk dan meninggal dunia pada 11/8/2009. Sebab kematian adalah pneumonia teruk. Walaubagaimanapun, keputusan ujian bagi Influenza A(H1N1) yang diterima pada 11/8/2009 didapati positif.

Seorang lelaki berumur 57 tahun dan mempunyai diabetes. Mula mendapat simptom batuk dan selesema pada 2/7/2009 tetapi tidak sembuh setelah mendapatkan rawatan. Pada 3/8/2009, sekali lagi pesakit pergi mendapatkan rawatan di klinik setelah mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan seterusnya dirujuk dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama di mana beliau telah diberikan rawatan anti-viral. Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada 5/8/2009 dan beliau telah meninggal dunia pada 12/8/2009 akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Seorang lelaki berumur 19 tahun, dimasukkan ke wad pada 7/8/2009 setelah demam dan batuk selama dua (2) hari dan telah diberikan rawatan antiviral. Ujian bagi Influenza A(H1N1) didapati positif pada keesokan harinya. Beliau telah mendapat sesak nafas teruk dan meninggal dunia pada 11/8/2009 akibat pneumonia.
Jumlah kematian telah melibatkan bilangan yang tinggi iaitu 56 kes. Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan(70%) di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40% didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13% kematian, didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan. Oleh yang demikian saya berpendapat, ada diantara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Kadar penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan. Saya meminta orang awam terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza mengambil tindakan yang berikut :

Mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan ke dalam komuniti. Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat dirumah sehingga sembuh. Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A(H1N1). Guru besar atau Ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas. Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik. Mereka yang tidak mempunyai simptom boleh meneruskan aktiviti harian mereka di sekolah ataupun tempat kerja seperti biasa.

Saya menasihatkan semua ibubapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.
Orang ramai terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03- 88810200 dan 03- 88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 14 Ogos 2009

Members of