Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 23 Ogos 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 68


Sejumlah 306 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa sejumlah 306 pesakit ILI telah didiscaj keluar menjadikan baki seramai 1,476 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 102 buah hospital termasuk 2 hospital swasta di seluruh negara. Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 272 pesakit (18%) yang disahkan positif H1N1.

Dari 272 kes yang disahkan H1N1, 39 kes berada di ICU di mana 2 kes merupakan kemasukan baru sementara 3 kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 kes (85%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (8), diabetes (7), kanak-kanak/bayi (4), penyakit respiratori kronik (2), postnatal (1) dan Sindrom Down (1).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan jumlah kes yang sehingga 23 Ogos 2009 adalah berjumlah 235,987 dengan 2,543 kematian dan ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182. Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes.

Kementerian Kesihatan masih menerima pertanyaan dari orang ramai dan pengamal perubatan swasta tentang bekalan ubat antiviral melalui program rangkaian Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia pada 20 Ogos 2009. Pengamal Perubatan yang ingin menyertai program tersebut dan orang ramai yang ingin mengetahui senarai klinik-klinik yang terlibat diminta melayari http://www.h1n1.net.my/ untuk maklumat lanjut.

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Individu yang mempunyai gejala ILI walaupun simptom kelihatan ringan, bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak termasuklah Bazaar Ramadhan, kompleks membeli-belah, tempat kerja, sekolah dan rumah ibadat. Ini adalah kerana seorang yang bersimptom jangkitan ILI, masih menyebarkan virus tersebut melalui batuk atau bersinnya, atau cairan daripada batuk atau bersin, walaupun mereka hanya kelihatan mengalami gejala demam dan batuk yang ringan.

Sekiranya anda terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, anda hendaklah sentiasa memakai mask sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul sampah dan basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain.

Langkah-langkah pencegahan ini adalah perlu untuk mengurangkan penularan kepada orang awam terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Orang awam juga perlu saling menasihati agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam, langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah berehat di rumah.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia meminta orang ramai terus memberi kerjasama berterusan untuk menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 23 Ogos 2009

Members of