Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 26 Ogos 2009

Kes Kematian : Satu
Jumlah Kematian : 71


Hari ini sejumlah 324 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa yang sama sejumlah 223 pesakit ILI telah didiscaj keluar. Seramai 1,446 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 98 buah hospital termasuk 2 hospital swasta di seluruh negara. Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 217 pesakit (15%) yang disahkan positif H1N1.

Dari 217 kes yang disahkan H1N1, 51 kes berada di ICU di mana 9 kes merupakan kemasukan baru, sementara 2 lagi kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 51 kes yang sedang dirawat di ICU, 39 kes (76%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (21), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post natal (1) dan Sindrom Down (2).

Untuk makluman, satu kematian didaftarkan pada hari ini setelah disahkan oleh Jawatankuasa Semakan Kematian (Mortality Review Committee). Maklumat ringkas mengenai kematian tersebut adalah seperti berikut:-

Seorang wanita berumur 24 tahun yang obes mula mengalami demam, batuk dan sakit kepala pada 08.08.09. Pesakit telah dimasukkan ke hospital swasta di Kuantan pada 10.08.09 dan dirawat sebagai viral pneumonitis. Pada 12.08.09, pesakit dirujuk ke hospital kerajaan kerana keadaannya bertambah teruk dan seterusnya dimasukkan ke ICU pada hari yang sama. Rawatan antiviral dimulakan pada 12.08.09 dan ujian makmal mendapati kes positif influenza A (H1N1) pada 17.08.09. Walau bagaimanapun, keadaan pesakit bertambah teruk dan beliau meninggal dunia pada 19.08.09. Sebab kematian adalah H1N1 with Acute Respiratory Distress Syndrome (ARDS).

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan jumlah kes sehingga 26 Ogos 2009 adalah berjumlah 239,985 dengan 2,601 kematian dan ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182. Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes.

Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan sekali lagi bahawa satu sesi dialog antara Y.B. Menteri Kesihatan dengan para pengamal perubatan swasta mengenai pengendalian kes Influenza-like Illiness (ILI) yang di syaki Influenza A(H1N1) telah dijadual akan diadakan pada esok hari iaitu Khamis 27 Ogos 2009, pada jam 3.30 petang di Bilik Gerakan KKM, Aras 4, Blok E7, Parcel E, Putrajaya. Semua pengamal perubatan swasta amat digalakkan untuk hadir ke sesi taklimat tersebut.

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Memandangkan cuti sekolah telah bermula, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menggesa ibu bapa supaya mengawasi pergerakkan anak-anak mereka supaya mengelak dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai seperti bazaar Ramadhan, rumah ibadat, majlis keramaian, majlis buka puasa atau pusat-pusat membeli-belah, stesen-stesen pengangkutan awam dan pawagam. Ini adalah penting untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada jangkitan daripada individu-individu yang mengalami simptom influenza di tempat awam.

Ibu bapa mesti bertanggungjawab memastikan anak-anak yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam. Selain ibu bapa, individu yang mempunyai gejala ILI walaupun simptom kelihatan ringan, bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak. Ini adalah kerana seorang yang bersimptom jangkitan ILI, masih menyebarkan virus tersebut melalui batuk atau bersinnya, atau cairan daripada batuk atau bersin, walaupun mereka hanya kelihatan mengalami gejala demam dan batuk yang ringan.

Langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah memastikan mereka yang bergejala supaya berehat di rumah. Ini bertujuan untuk mengurangkan penularan kepada orang awam terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Sekiranya mereka yang mempunyai gejala terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti sentiasa memakai mask sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul atau tong sampah serta basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain. Hanya dengan sikap bertanggungjawab dan kerjasama orang ramai sahajalah penularan penyakit ini dapat dibendung.

Orang awam juga perlu saling menasihati agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam, langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah berehat di rumah.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia meminta orang ramai terus memberi kerjasama berterusan untuk menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 26 Ogos 2009

Members of