Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 30 Ogos 2009

Kes Kematian : 1
Jumlah Kematian : 72


Dimaklumkan sehingga 30 Ogos 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 202 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 285 kes telah didiscaj keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,515 pesakit ILI sedang dirawat di 97 buah hospital termasuk 5 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 280 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada 280 kes yang disahkan H1N1, 44 kes berada di ICU dimana 5 kes merupakan kemasukan baru, sementara 7 lagi kes keluar dari ICU. Daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (82%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (3), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (4) asthma (3) dan immuniti rendah (2).

Untuk makluman, 1 kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini. Kes kematian tersebut adalah seorang lelaki berumur 49 tahun tanpa pekerjaan tetap serta bermasalah kesihatan hepar (hati) telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada 13/8/09 dengan simptom demam dan batuk selama dua hari serta muntah. Pesakit terus dimasuk ke wad dan rawatan antiviral influenza dan antibiotik telah dimulakan serta merta. Ujian TB, Tifoid, Denggi, Leptospira serta H1N1 didiapati negatif pada 18.08.09. Rawatan telah diteruskan walau bagaimanapun pesakit menjadi tenat kerana masalah paru-paru. Beliau dipindahkan ke ICU dan meninggal dunia pada 19.08.09 disebabkan oleh Severe pneumonia with septicaemic shock and H1N1. Laporan biopsi postmortem yang diterima mendapati sampel paru-paru positif influenza A(H1N1) pada 24/08/09.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dimana jumlah kes sehingga 30 Ogos 2009 adalah 246,221 dengan 2,958 kematian yang melibatkan 182 buah negara. Walau bagaimanapun, angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan semua negara melaporkan bilangan kes.

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, ibu bapa diminta lebih bertanggungjawab untuk memastikan hanya menghantar anak mereka yang sihat sahaja ke sekolah. Manakala bagi anak-anak yang mengalami gejala demam atau batuk adalah dinasihatkan supaya terus berehat di rumah sehingga benar-benar sembuh dan tiada lagi menunjukkan sebarang simptom. Ini kerana anak-anak yang ada simptom masih berisiko untuk menularkan virus tersebut kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Orang ramai disarankan agar terus mengamalkan kebersihan diri terutamanya rutin membasuh tangan dan etika batuk. Mereka juga perlu sentiasa mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain) serta mengurangkan mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak dan dan majlis-majlis perjumpaan.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Di saat penularan jangkitan influenza A(H1N1) yang semakin meningkat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon orang ramai untuk terus memberi kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 30 Ogos 200

Members of