Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 31 Ogos 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 72


Dimaklumkan sehingga 31 Ogos 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 99 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 240 kes telah didiscaj keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,374 pesakit ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 4 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 286 pesakit (21%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada 286 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di ICU dimana 8 kes merupakan kemasukan baru, sementara 4 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 46 kes yang sedang dirawat di ICU, 32 (70%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (9), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post-natal/hamil (3), penyakit jantung (2), asthma (1) dan immuniti rendah (2).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, ibu bapa diminta lebih bertanggungjawab untuk memastikan hanya menghantar anak mereka yang sihat sahaja ke sekolah. Manakala bagi pelajar-pelajar yang mengalami gejala demam atau batuk mesti terus berehat di rumah sehingga mereka bebas dari gejala dan tiada lagi menunjukkan sebarang simptom. Ini kerana mereka yang masih ada gejala walaupun ringan masih boleh menularkan virus tersebut kepada orang lain. Adalah dikhuatri jika mereka menularkan virus ini kepada mereka yang berisiko, komplikasi yang serius termasuklah kematian boleh berlaku. Sementara itu pihak sekolah terutamanya guru-guru mesti memastikan hanya pelajar-pelajar yang sihat sahaja menghadiri kelas sebelum kelas bermula. Pelajar-pelajar yang di dapati tidak sihat perlu dihantar pulang atau ke klinik untuk rawatan, maka guru tidak perlu menutup kelas. Jika ini dapat dilaksanakan, bermakna hanya pelajar yang sihat sahaja akan berada di dalam kelas. Ini akan memberi keyakinan kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak yang tidak mempunyai gejala ke sekolah.

Masyarakat terutama mereka yang mempunyai simptom influenza A (H1N1) mesti memakai topeng muka ketika berada di kawasan/tempat yang mempunyai ramai orang. Mereka juga perlu memberi perhatian serius dalam mengamalkan kebersihan diri iaitu membasuh tangan terutamanya selepas batuk dan bersin. Selain itu perlu menutup mulut dan hidung dengan tisu setiap kali batuk dan bersin. Tisu yang telah digunakan mestilah di buangkan ke dalam tong sampah.

Mereka yang ada gejala juga mesti mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain) apabila berurusan dengan orang lain. Selain itu, elakkan dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dan padat dengan orang ramai juga majlis-majlis perjumpaan. Mereka yang menjalani pengasingan di rumah kerana mempunyai gejala influenza-like illness (ILI) juga mesti mengamalkan social distancing ini apabila berurusan dengan ahli keluarga mereka.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Di saat penularan jangkitan influenza A(H1N1) yang semakin meningkat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon orang ramai untuk terus memberi kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 31 Ogos 2009

Members of