Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 22 Ogos 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 68


Dimaklumkan sehingga 22 Ogos 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 230 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke wad, manakala 310 pesakit telah didiscaj keluar menjadikan baki seramai 1,476 pesakit sedang dirawat di 102 buah hospital termasuk 3 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 316 pesakit (21%) yang disahkan positif H1N1.

Dari 316 kes yang disahkan H1N1, 40 kes berada di ICU di mana 4 kes merupakan kemasukan baru sementara 8 kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 40 kes yang sedang dirawat di ICU, 25 kes (63%) mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak/bayi (7), diabetes (5), penyakit kronik (5), asma/COAD (3), obesiti (3), mengandung/postnatal (1) dan kanak-kanak istimewa (1).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dan melibatkan 182 buah negara. Sehingga 22 Ogos 2009 jam 8.00 pagi, terdapat peningkatan kes jangkitan influenza A(H1N1) sebanyak 1,227 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 234,569 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 34 menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,433. Ini tidak menunjukkan gambaran sebenar oleh kerana WHO tidak lagi mewajibkan pelaporan kes.

Kementerian Kesihatan masih menerima pertanyaan dari orang ramai dan pengamal perubatan swasta tentang bekalan ubat antiviral melalui program rangkaian Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia pada 20 Ogos 2009. Pengamal Perubatan yang ingin menyertai program tersebut dan orang ramai yang ingin mengetahui senarai klinik-klinik yang terlibat diminta melayari http://www.h1n1.net.my untuk maklumat lanjut.

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Individu yang mempunyai gejala ILI bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak termasuklah Bazaar Ramadhan, masjid dan lain-lain rumah ibadat. Ini adalah kerana anda masih boleh menyebarkan penyakit walaupun mengalami gejala demam dan batuk yang ringan. Sekiranya anda terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam, pemakaian mask menjadi kemestian sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul sampah dan basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain. Langkah-langkah pencegahan ini adalah perlu memandangkan kesan jangkitan adalah serius, terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Orang awam juga perlu memainkan peranan untuk menasihati individu yang menghidap demam atau batuk yang berada di tempat awam, seperti rumah ibadat, untuk memakai mask, menjarakkan diri (social distancing) atau berehat di rumah.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia meminta orang ramai terus memberi kerjasama berterusan untuk menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 22 Ogos 2009

Members of