Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 24 Ogos 2009

Kes Kematian : Satu
Jumlah Kematian : 69


Sejumlah 306 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa yang sama sejumlah 300 pesakit ILI telah didiscaj keluar menjadikan baki seramai 1,455 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 85 buah hospital termasuk 4 hospital swasta di seluruh negara. Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 285 pesakit (19.6%) yang disahkan positif H1N1.

Dari 285 kes yang disahkan H1N1, 39 kes berada di ICU di mana 2 kes merupakan kemasukan baru sementara 2 kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 kes (85%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), obesiti (8), diabetes (7), kanak-kanak/bayi (5), penyakit respiratori kronik (2), postnatal (1) dan Sindrom Down (1).

Untuk makluman, satu kematian didaftarkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 69 kematian. Kematian yang didaftar pada hari ini melibatkan seorang wanita berusia 38 tahun. Kes telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos 2009 bagi gejala demam dan batuk selama 2 hari, ujian rapid test mendapati positif influenza A rawatan simptomatik telah diberikan tetapi tamiflu tidak diberi. Lima (5) hari kemudian pada 18 Ogos 2009 pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana secara tiba-tiba mengalami sukar bernafas dan cyanosis. Beliau terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan di Unit Rawatan Rapi HKL. Swab tekak telah diambil pada 18 Ogos 2009 dan rawatan tamiflu dimulakan. Walaubagaimanapun beliau telah meninggal dunia pada 19 Ogos 2009 dengan sebab kematian adalah pneumonia with ARDS. Keputusan swab tekak mengesahkan positif bagi influenza A(H1N1) pada 20 Ogos 2009.

Di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan jumlah kes yang sehingga 24 Ogos 2009 adalah berjumlah 237,455 dengan 2,544 kematian dan ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182. Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes.

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Memandangkan cuti sekolah telah bermula, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menggesa ibu bapa supaya mengawasi pergerakkan anak-anak mereka supaya mengelak dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai seperti bazaar Ramadhan, rumah ibadat, majlis keramaian, majlis buka puasa atau pusat-pusat membeli-belah, stesen-stesen pengangkutan awam dan pawagam. Ini adalah penting untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada jangkitan daripada individu-individu yang mengalami simptom influenza di tempat-tempat awam.

Ibu bapa mesti bertanggungjawab memastikan anak-anak yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam. Selain ibu bapa, individu yang mempunyai gejala ILI walaupun simptom kelihatan ringan, bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak. Ini adalah kerana seorang yang bersimptom jangkitan ILI, masih menyebarkan virus tersebut melalui batuk atau bersinnya, atau cairan daripada batuk atau bersin, walaupun mereka hanya kelihatan mengalami gejala demam dan batuk yang ringan.

Langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah memastikan mereka yang bergejala supaya berehat di rumah. Ini bertujuan untuk mengurangkan penularan kepada orang awam terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Sekiranya mereka yang mempunyai gejala terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti sentiasa memakai mask sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul atau tong sampah serta basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain. Hanya dengan sikap bertanggungjawab dan kerjasama orang ramai sahajalah penularan penyakit ini dapat dibendung.

Orang awam juga perlu saling menasihati agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam, langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah berehat di rumah.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia meminta orang ramai terus memberi kerjasama berterusan untuk menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

Tarikh: 24 Ogos 2009

Members of