Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 8 Ogos 2009 - Update 2

Pada 8 Ogos 2009 sejumlah 53 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 3 kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan dan di kalangan warga negara Malaysia. Daripada 53 kes yang dilaporkan hari ini, 24 merupakan kejadian dari 5 kluster baru dan 2 kluster lama, sementara 29 adalah kes sporadikatau terpencil. Disamping itu sebanyak 40 kluster influenza-like illness telah dilaporkan di mana lima telah disahkan positif influenza A(H1N1).

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 8 Ogos 2009 adalah sebanyak 1,578 kes dengan jumlah kematian 18 orang. Daripada 1,578 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (36%) merupakan kes import dan 1,004 (64%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,498 kes (95%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 14 orang. Seramai 64 pesakit sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi manakala 25 orang menerima rawatan pesakit luar.

Daripada 14 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post -delivery (1) dan bayi (2).

Maklumat mengenai kes-kes kematian adalah seperti berikut:

Kematian ke-16, adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun yang telah mula mendapat gejala ‘upper respiratory tract infection’ dan telah mendapat rawatan di klinik swasta pada 3/8/09. Beliau mengalami sawan pada 4/8/09 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan. Ujian makmal pada 5/8/09 mengesahkan kes mendapat jangkitan influenza A(H1N1). Kes meninggal dunia pada 7/8/09 disebabkan oleh ‘Acute Encephalitis secondary to Influenza A(H1N1)’.

Kematian ke-17, adalah seorang kanak-kanak berumur satu tahun empat bulan dan mempunyai sejarah penyakit Hypothyroidism dan sedang dalam rawatan. Beliau mula menghidap gejala demam, batuk dan selsema pada 28/7/09 namun tidak mendapatkan rawatan di klinik. Beliau hanya berjumpa doktor klinik swasta pada 2/8/09 dan terus dirujuk ke hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu pada hari yang sama kerana muntah, kurang selera makan dan sukar bernafas. Pesakit disahkan positif influenza A(H1N1) pada 4/8/09. Selepas lima hari berada di hospital, pesakit menjadi lebih teruk dengan gejala ‘drowsiness, lethargy dan altered consciousness’ dan dipindahkan ke wad rawatan rapi dengan bantuan pernafasan pada 6/8/09. Walau bagaimanapun keesokkan harinya keadaan pesakit menjadi teruk dan meninggal dunia pada 7/8/09 akibat ‘severe pneumonia with underlying H1N1 infection’.

Kes yang ke-18 ialah seorang lelaki berumur 63 tahun (pengidap Asma dan sejarah penyakit Tibi), dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang pada 2/8/09 kerana sesak nafas teruk. Beliau disahkan positif H1N1 dan Tibi pada 4/8/09. Beliau meninggal dunia pada 6/08/09 disebabkan oleh ‘Severe Pneumonia with positif influenza A(H1N1) with underlying pulmonary TB’. Si-mati mula mendapat demam, batuk dan selsema sejak 29/7/09 dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 31/7/09 sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 8 Ogos 2009, sejumlah 205,914 kes dengan 1,568 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 4233 kes dengan 15 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Orang ramai diminta mengambil tindakan yang tepat!

Orang yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Mereka ini akan diberikan rawatan anti-viral tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

Orang ramai yang tidak tergolong dalam kumpulan ini tetapi mempunyai simptom yang ringan diminta supaya tidak berasa cemas. Kebanyakan orang akan sembuh sepenuhnya dengan mengambil langkah-langkah berikut :

Makan ubat demam mengikut sukatan yang disyorkan
Banyak minum air
Pastikan pengudaraan yang baik di rumah
Amalkan cara hidup yang sihat termasuk tidak merokok, makan secara sihat dan lakukan aktiviti fizikal.

Bagi mereka yang berisiko tinggi dan juga bersimptom ringan, dinasihatkan untuk berada di rumah dan kurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga. Mereka perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik. Jika terpaksa pergi ke tempat-tempat awam, mereka mesti memakai penutup mulut dan hidung ( mask ) jenis ‘three ply’. Amalan-amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.

Semasa berehat di rumah beri perhatian kepada tanda-tanda amaran kecemasan (Lampiran 2). Dapatkan rawatan HANYA apabila anda mengalami tanda-tanda tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia memberi perkhidmatan yang berkesan.
Makluman kepada orang awam:

Hanya kes-kes yang dimasukkan ke hospital dengan gejale-gejala serius seperti masalah pernafasan batuk berkahak, dada berterusan dan lain-lain akan disaring untuk influenza A(H1N1).

Waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03 88810200 dan 03­88810300. Bagi mereka yang memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 8 Ogos 2009

Members of