Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 27 Ogos 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 71


Dimaklumkan sehingga 27 Ogos 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 260 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 312 kes telah didiscaj keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,394 pesakit ILI sedang dirawat di 94 buah hospital termasuk 5 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 259 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada 259 kes yang disahkan H1N1, 53 kes berada di ICU dimana 8 kes merupakan kemasukan baru, sementara 4 lagi kes dipindah keluar dari ICU. Daripada 53 kes yang sedang dirawat di ICU, 41 (77%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (17), obesiti (14), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2) dan Sindrom Down (1).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dimana jumlah kes sehingga 27 Ogos 2009 adalah 242,097 dengan 2,651 kematian yang melibatkan 182 buah negara. Walau bagaimanapun, angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan semua negara melaporkan bilangan kes.

Dimaklumkan satu sesi dialog Y.B. Menteri Kesihatan bersama dengan para pengamal perubatan swasta mengenai pengendalian kes influenza-like Illness (ILI) yang disyaki Influenza A(H1N1) akan diadakan pada pukul 3.30 petang ini di Bilik Gerakan KKM, Aras 4, Blok E7, Parcel E, Putrajaya. Semua pengamal perubatan swasta telah dimaklumkan untuk hadir ke sesi taklimat tersebut.

Langkah membendung penularan jangkitan H1N1 tidak akan berkesan sekiranya masih terdapat individu-individu yang mempunyai gejala ILI walaupun ringan tetapi enggan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tidak mengunjungi tempat-tempat yang sesak seperti bazar Ramadhan, rumah ibadat, majlis keramaian, majlis berbuka puasa, pusat membeli belah, pawagam dan stesen-stesen pengangkutan awam. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh menularkan jangkitan influenza A(H1N1) kepada orang ramai dan dikhuatiri akan menjangkiti golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru dan jantung kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Kita perlu sentiasa saling ingat mengingatkan agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam. Langkah paling bijak dan bertanggungjawab bagi mereka yang mempunyai gejala ILI adalah berehat di rumah dan sekiranya terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka hendaklah memakai mask sepanjang masa.

Orang ramai juga diminta mengambil maklum berkaitan perbezaan antara gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza. Diantara perbezaan yang ketara ialah apabila dijangkiti Influenza, kebiasaannya individu akan mengalami demam yang tinggi (> 38ºC) sehingga 3 ke 4 hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang biasanya teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal. Manakala selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (< 38ºC), hidung berair dan kerap bersin.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Di saat penularan jangkitan influenza A(H1N1) yang semakin meningkat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon orang ramai untuk terus memberi kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 27 Ogos 2009

Members of