Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 7 September 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 73


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 228 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 248 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,283 ILI sedang dirawat di 96 buah hospital termasuk 7 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 214 pesakit (16.7%) telah disahkan positif H1N1.

Daripada 214 kes yang telah disahkan H1N1, 48 kes berada di ICU di mana 7 kes merupakan kemasukan baru, sementara 11 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 48 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (60.4%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (11), kanak-kanak bawah 5 tahun (7), morbid obesiti (9), hamil/postnatal (1) dan penyakit respiratori (1).

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Saya mengharapkan semua individu lebih bertanggungjawab dalam mengurangkan jangkitan virus influenza A H1N1 terutamanya mereka yang mempunyai gejala ILI dengan berehat di rumah dan sekiranya terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka hendaklah memakai mask sepanjang masa. Ini kerana selagi seseorang itu masih mempunyai tanda-tanda atau gejala, mereka masih mengeluarkan virus H1N1 dari batuk atau bersin mereka, dan boleh menjadi punca jangkitan kepada orang lain dan jangkitan ini merebak melalui titisan cecair (droplet).

Saya menegaskan bahawa, orang ramai boleh mengelakkan dari dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala Influenza-Like Illness dan sentiasa berada sekurang-kurangnya 1 meter dari individu tersebut serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

Elakkan menyentuh mulut dan hidung jika ia belum dibersihkan atau dicuci.

Cuci tangan dengan bersih menggunakan air dan sabun (terutama selepas menyentuh mulut dan hidung atau permukaan yang berpotensi dicemari virus)

Jauhi individu-individu yang berkemungkinan sakit

Kurangkan masa berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak

Tingkatkan pengaliran udara dengan membuka tingkap rumah atau bangunan (living space)

Amalkan cara hidup yang sihat termasuk tidur yang cukup, makan makanan sihat, minum air secukupnya dan amalkan aktiviti fizikal
Bagi mereka yang merokok, kajian mendapati merokok merupakan faktor risiko bagi jangkitan influenza terutama di kalangan orang muda. Jangkitan influenza adalah lebih teruk di kalangan perokok kerana asap rokok merosakkan saluran pernafasan dan dengan itu memburukkan lagi keadaan pesakit. Malah pendedahan kepada asap rokok secara pasif juga perlu dielakkan.

Orang ramai yang sihat juga adalah disarankan agar dapat mengurangkan aktiviti mengunjungi tempat-tempat tersebut terutama sekali musim membeli belah bagi persiapan sambutan hari raya, bagi mengelakkan diri terdedah kepada jangkitan. Sekiranya terpaksa berkunjung ke tempat-tempat tersebut adalah dinasihatkan supaya dapat membuat perancangan awal ke atas perkara-perkara hendak dilakukan bagi mengurangkan tempoh masa berada di tempat-tempat berkenaan. Di samping itu bagi mereka yang mempunyai gejala penyakit hendaklah tidak keluar rumah, namun sekiranya perlu keluar rumah, adalah dimestikan untuk senantiasa memakai mask.

Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 7 September 2009

Members of