Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 23 September 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 77


Pada hari ini, sejumlah 96 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa yang sama sejumlah 65 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di buah 70 hospital termasuk 8 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 618 orang. Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 177 pesakit atau 29% merupakan kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal.

Daripada jumlah pesakit H1N1 yang sedang dirawat di hospital, seramai 26 kes atau 15% adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU). Terdapat 2 kemasukan kes baru dan 4 kes discaj hari ini. Untuk makluman, seramai 24 atau 92% kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu seperti berikut, kanak-kanak bawah 5 tahun (8), penyakit kronik (4), obesiti (6), penyakit respiratori kronik (5) dan warga emas keatas 65 tahun (1).

Tiada kematian H1N1 didaftarkan hari ini di Malaysia. Di peringkat global, laporan terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), adalah yang bertarikh 18 September, 2009 yang memaklumkan bahawa jumlah kes H1N1 keseluruhan dunia melebihi 296,471 dengan kematian sekurang-kurangnya 3,486 kes.

Penularan penyakit berjangkit influenza A(H1N1) dalam komuniti adalah masih aktif. Kita 1 Malaysia perlu sentiasa berwaspada dan jangan lupa untuk terus bersama mencegah penularan H1N1 dalam komuniti. Berikut adalah amalan bijak yang boleh mencegah atau mengawal penularan H1N1 semasa musim perayaan ini.

Mereka yang bersimptom ILI hendaklah segera mendapatkan rawatan di klinik terdekat. Semasa berehat di rumah hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan membasuh tangan terutama selepas batuk dan bersin. Perlu memakai mask atau topeng muka bila bergaul rapat dengan individu sihat.

Elakkan pergaulan rapat dengan individu yang ada simptom ILI, dengan berada pada jarak tidak kurang daripada 1 meter. Amalkan mencuci tangan secara kerap selepas bersalam-salaman sama ada menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer. Sebaik-baiknya bawa bersama hand sanitizer semasa mengunjungi rumah terbuka.

Amalkan kesihatan yang baik dengan minum air yang secukupnya, juga rehat dan tidur yang secukupnya serta memakan makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Sediakan kemudahan membersih tangan serta tempat membuang sampah semasa mengadakan majlis jamuan raya atau rumah terbuka.

Langah terbaik bagi mereka yang sedang mengalami gejala Influenza-Like Illness(ILI), dan selepas mendapatkan rawatan segera daripada doktor, adalah rehat di rumah dan mengurangkan pergaulan rapat dengan lain-lain ahli keluarga yang lain sehinggalah bebas daripada semua simptom ILI. Ini kerana selagi mereka bersimptom batuk atau cairan bersin mereka mempunyai virus H1N1 yang boleh memudaratkan kepada individu yang rapat dengannya. Atas sebab inilah juga mereka sentiasa disarankan untuk mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul, iaitu menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.

Sentiasa mendapat maklumat serta perkembangan terkini jangkitan influenza A(H1N1) daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. Sebarang pertanyaan atau masalah boleh di ajukan melalui panggilan telefon ke talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my.
Kepada pengusaha pasar raya, pusat membeli-belah serta perkhidmatan pengangkutan awam adalah diminta untuk sentiasa menyediakan kemudahan mencuci tangan yang secukupnya. Kebersihan hendaklah dijaga dengan baik dan berterusan termasuk kebersihan kemudahan tandas. Kemudahan membuang sampah yang mencukupi dan terurus hendaklah disediakan bagi memudahkan orang awam membuang tisu-tisu yang digunakan semasa batuk atau bersin.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

23 September 2009

Members of