Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 1 September 2009

Dimaklumkan sehingga 1 September 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 278 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 279 kes telah didiscaj keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,373 pesakit ILI sedang dirawat di 94 buah hospital termasuk 10 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 193 pesakit (14%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada 193 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di ICU dimana 6 kes merupakan kemasukan baru, sementara 6 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 46 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (78%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (8), obesiti (11), kanak-kanak/bayi (8), post-natal/hamil (4), penyakit jantung (2), asthma (1) dan immuniti rendah (2).

Untuk makluman, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima laporan mengenai tiga (3) kematian yang berlaku pada 30 Ogos 2009 di Negeri Sembilan. Mereka ini berumur di antara 24 hingga 42 tahun dan kes ini akan dibentang kepada Jawatankuasa Semakan Kematian influenza A (H1N1) pada hari ini. Keputusannya akan diumumkan secepat mungkin sama ada kematian ini disebabkan oleh jangkitan influenza A (H1N1) atau sebaliknya.

Saya ingin menegaskan sekali lagi, memandangkan sesi persekolahan bermula hari ini, ibu bapa diminta lebih bertanggungjawab untuk memastikan hanya menghantar anak-anak mereka yang sihat saja ke sekolah. Manakala anak yang mengalami gejala demam atau batuk adalah dinasihatkan supaya terus berehat di rumah sehingga benar-benar sembuh dan tiada lagi menunjukkan simptom. Jika anak-anak yang menunjukkan simptom dihantar juga ke sekolah, ianya amat berisiko untuk menularkan virus influenza A (H1N1) kepada rakan-rakan mereka yang lain. Murid-murid perlu sentiasa menjaga kebersihan diri agar tidak dijangkiti virus influenza A (H1N1) lebih-lebih lagi bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan seperti UPSR, PMR dan SPM. Amalan kebersihan diri yang utama iaitu membasuh tangan terutamanya selepas batuk dan bersin mestilah diteruskan. Selain itu amalan menutup mulut dan hidung dengan tisu setiap kali batuk dan bersin juga perlu terus diamalkan. Tisu yang telah digunakan mestilah dibuang ke dalam tong sampah.

Orang ramai yang ada gejala juga mesti mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain) apabila berurusan dengan orang lain. Selain itu, elakkan dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dan padat dengan orang ramai juga majlis-majlis perjumpaan. Mereka yang menjalani pengasingan di rumah kerana mempunyai gejala influenza-like illness (ILI) juga mesti mengamalkan social distancing ini apabila berurusan dengan ahli keluarga mereka yang lain.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Di saat penularan jangkitan influenza A(H1N1) yang semakin meningkat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon orang ramai untuk terus memberi kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 1 September 2009

Members of