Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 19 September 2009


Kes Kematian : 1
Jumlah Kematian : 77


Pada hari ini, sejumlah 69 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam masa yang sama sejumlah 150 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 85 buah hospital termasuk 13 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 740 orang. Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 190 pesakit atau 26% merupakan kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal.

Daripada 190 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 29 kes atau 15% adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU). Jumlah ini termasuklah 3 kemasukan baru dan 4 kes telah keluar dari ICU. Sebagai makluman, seramai 23 atau 79% kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (6), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2).

Kami ingin memaklumkan satu(1) kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1), iaitu kes kematian ke 77. Kematian sebenarnya berlaku pada 11 September 2009 tetapi dilaporkan kepada pihak Kementerian pada 18 September 2009. Kes adalah seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun yang tinggal di asrama sekolah, telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 7 September 2009 kerana telah demam, batuk dan selsema selama sehari. Pesakit juga ada riwayat mengidap penyakit asma. Kes dirawat sebagai kes ringan ILI dan diberi rawatan simptomatik pesakit luar. Dimaklumkan bahawa simptom pesakit tidak pulih, tetapi hanya dibawa semula ke hospital 4 hari kemudian iaitu pada 11 September 2009, dimana pesakit terus dimasukkan ke Unit ICU, Hospital Sultan Abdul Halim dan rawatan antiviral influenza dimulakan. Oleh kerana komplikasi jangkitan, pesakit meninggal dunia enam(6) jam selepas dimasukkan ke hospital. Penyebab kematian direkodkan sebagai severe pneumonia with H1N1 infection with secondary bacterial infection. Sampel throat swab pesakit disahkan jangkitan H1N1 melalui ujian makmal pada 12 September 2009.

Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat 1 Malaysia dan dalam kesibukan kita untuk berhari raya, kita jangan lupa untuk terus bersama mencegah penularan H1N1 dalam komuniti, Hari Raya Tanpa H1N1. Berikut adalah amalan bijak yang boleh mencegah atau mengawal penularan H1N1 semasa musim perayaan ini.

Mereka yang bersimptom ILI hendaklah segera mendapatkan rawatan di klinik terdekat. Semasa berehat di rumah hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan membasuh tangan terutama selepas batuk dan bersin. Perlu memakai mask atau topeng muka bila bergaul rapat dengan individu sihat.

Elakkan pergaulan rapat dengan individu yang ada simptom ILI, dengan berada pada jarak tidak kurang daripada 1 meter. Amalkan mencuci tangan secara kerap selepas bersalam-salaman sama ada menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer. Sebaik-baiknya bawa bersama hand sanitizer semasa mengunjungi rumah terbuka.

Amalkan kesihatan yang baik dengan minum air yang secukupnya, juga rehat dan tidur yang secukupnya serta memakan makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Sediakan kemudahan membersih tangan serta tempat membuang sampah semasa mengadakan majlis jamuan raya atau rumah terbuka.

Langah terbaik bagi mereka yang sedang mengalami gejala Influenza-Like Illness(ILI), dan selepas mendapatkan rawatan segera daripada doktor, adalah rehat di rumah dan mengurangkan pergaulan rapat dengan lain-lain ahli keluarga yang lain sehinggalah bebas daripada semua simptom ILI. Ini kerana selagi mereka bersimptom batuk atau cairan bersin mereka mempunyai virus H1N1 yang boleh memudaratkan kepada individu yang rapat dengannya. Atas sebab inilah juga mereka sentiasa disarankan untuk mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul, iaitu menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.

Sentiasa mendapat maklumat serta perkembangan terkini jangkitan influenza A(H1N1) daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. Sebarang pertanyaan atau masalah boleh di ajukan melalui panggilan telefon ke talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my.
Kepada pengusaha pasar raya, pusat membeli-belah serta perkhidmatan pengangkutan awam adalah diminta untuk sentiasa menyediakan kemudahan mencuci tangan yang secukupnya. Kebersihan hendaklah dijaga dengan baik dan berterusan termasuk kebersihan kemudahan tandas. Kemudahan membuang sampah yang mencukupi dan terurus hendaklah disediakan bagi memudahkan orang awam membuang tisu-tisu yang digunakan semasa batuk atau bersin.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

19 September 2009

Members of