Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 16 September 2009


Kes Kematian : 2
Jumlah Kematian : 76


Pada hari ini, sejumlah 156 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 189 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 881 orang. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, 141 pesakit (19%) telah disahkan positif H1N1.

Sementara itu, 37(26%) kes sedang dirawat di ICU dimana 4 kes merupakan kemasukan baru, sementara 4 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 37 kes yang sedang dirawat di ICU, 28(76%) kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), penyakit respiratori kronik (3), obesiti (6), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (2).

Untuk makluman, dua kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini menjadikan jumlah kematian sehingga kini berjumlah 76 kematian.
Kematian pertama telah berlaku pada 26 Ogos 2009 dan dilaporkan kepada pihak Kementerian pada 10 September 2009. Kes adalah seorang wanita berumur 45 tahun, yang juga mengidap darah tinggi dimasukkan ke Hospital Tambunan pada 17 Ogos 2009 kerana demam, batuk dan selesema selama 3 hari. Pada hari yang sama, beliau telah dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan rapi di ICU dan rawatan antiviral dimulakan. Walau bagaimanapun, pada 26 Ogos 2009 iaitu 10 hari selepas dimasukkan ke ICU, beliau meninggal dunia kerana komplikasi pneumonia. Kematian direkodkan sebagai severe bronchopneumonia with Acute Respiratory Distress Syndrome. Kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 19 Ogos 2009.

Kematian kedua yang didaftarkan merupakan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun tanpa co-morbid dari Bentong, Pahang dan telah dimasukkan ke Hospital Bentong pada 30 Ogos 2009 kerana batuk selama 5 hari dan demam 1 hari. Rawatan antiviral telah dimulakan pada hari yang sama. Beliau sebelum itu telah mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital bagi simptom batuk tanpa demam pada 26 Ogos 2009. Pada 31 Ogos 2009, beliau mengalami sesak nafas dan terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan ICU. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 1 September 2009 disebabkan oleh severe pneumonia with H1N1 infection. Kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 3 September 2009. Kematian ini dilaporkan kepada pihak Kementerian pada 10 September 2009.
Dalam kesibukan kita membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran, Kementerian Kesihatan ingin menasihati orang ramai agar terus mengamalkan langkah kebersihan diri, tidak berlengah dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan influenza A(H1N1).

Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut, Kementerian Kesihatan juga menyarankan orang ramai dan pihak pengurusan pasaraya atau pusat membeli-belah agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:

Pengurusan pasaraya atau pusat membeli-belah diminta untuk menyediakan tempat kemudahan membasuh atau membersih tangan disamping menjaga kebersihan persekitaran dan juga menyediakan tempat bagi membuang sampah dan mask yang mencukupi. Langkah-langkah ini dapat membantu membendung penularan H1N1 di kalangan pengunjung-pengunjung semasa membeli-belah bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri.

Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer) di mana-mana sahaja berada termasuk ketika membeli belah, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri khususnya mencuci tangan sekerap mungkin dan menggunakan tisu apabila batuk dan bersin serta memastikan tisu yang digunakan dibuang ke dalam tong sampah.

Individu yang mempunyai gejala selesema seharusnya tidak pergi ke tempat awam. Sekiranya terpaksa berada di tempat tersebut, pastikan sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan tangan serta membuang tisu yang kotor ke dalam tong sampah. Topeng mulut dan hidung yang telah digunakan juga perlu dibuang ke dalam tong sampah.

Individu bergejala selesema yang menggunakan pengangkutan awam mahupun kenderaan sendiri hendaklah sentiasa memakai topeng mulut dan hidung serta mengamalkan adab batuk di sepanjang perjalanan.

Sepanjang berada di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri daripada orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

Sekiranya mempunyai gejala selesema terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, sila dapatkan rawatan daripada klinik atau hospital dengan segera.

Sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.

Maklumat serta perkembangan terkini jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Maklumat berkaitan juga boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

16 September 2009

Members of