Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 6 September 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 73


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 219 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 114 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,303 ILI sedang dirawat di 113 buah hospital termasuk 13 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 332 pesakit (25.5%) telah disahkan positif H1N1.

Daripada 332 kes yang telah disahkan H1N1, 52 kes berada di ICU di mana 5 kes merupakan kemasukan baru, sementara 8 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 52 kes yang sedang dirawat di ICU, 37 (71%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (16), kanak-kanak bawah 5 tahun (9), morbid obesiti (9), hamil/postnatal (1), warga emas(1) dan penyakit respiratori (1).

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Pada hari ini, hanya 10 panggilan diterima melalui hotline dan 7 melalui email. Walaupun jumlah pertanyaan berkurangan, namun orang ramai masih bertanyakan tentang langkah-langkah pencegahan dan simptom/gejala Influenza A(H1N1). Saya menegaskan bahawa, orang ramai boleh mengelakkan dari dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala Influenza-Like Illness dan sentiasa berada sekurang-kurangnya 1 meter dari individu tersebut serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

Elakkan menyentuh mulut dan hidung jika ia belum dibersihkan atau dicuci.

Cuci tangan dengan bersih menggunakan air dan sabun (terutama selepas menyentuh mulut dan hidung atau permukaan yang berpotensi dicemari virus)

Jauhi individu-individu yang berkemungkinan sakit

Kurangkan masa berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak

Tingkatkan pengaliran udara dengan membuka tingkap rumah atau bangunan (living space)

Amalkan cara hidup yang sihat termasuk tidur yang cukup, makan makanan sihat, minum air secukupnya dan amalkan aktiviti fizikal
Untuk makluman, tanda-tanda atau simptom individu yang dijangkiti Influenza A(H1N1) adalah demam, batuk, sakit kepala, sakit sendi dan badan, selesema dan sakit tekak. Kebanyakan individu mengalami simptom yang ringan sahaja.

Sempena dengan musim membeli-belah bagi persiapan menyambut Hari Raya, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai agar memastikan dirinya tidak dijangkiti H1N1 dengan mengamalkan langkah-langkah yang dinyatakan di atas. Bagi menunjukkan rasa tanggungjawab dalam membantu negara menangani wabak ini, individu yang berasa tidak sihat dan mengalami gejala selesema (influenza-like-illness), hendaklah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan awal dan nasihat kesihatan. Majoriti mereka diminta untuk berehat di rumah sehingga pulih dan bebas daripada tanda penyakit. Mereka hendaklah berada di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah, rumah ibadat, atau mana-mana tempat awam sepertimana yang dinasihatkan oleh doktor. Sekiranya tidak dapat dielakkan dan perlu keluar, mereka mesti sentiasa memakai penutup mulut. Ini kerana selagi seseorang itu masih mempunyai tanda-tanda atau gejala, mereka masih mengeluarkan virus H1N1 dari batuk atau bersin mereka, dan boleh menjadi punca jangkitan kepada orang lain dan jangkitan ini merebak melalui titisan cecair (droplet).

Bagi individu yang berisiko tinggi dan mengalami gejala influenza A(H1N1), adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan antivirus influenza di klinik atau Hospital. Rawatan ini akan diberi serta-merta tanpa perlu ujian pengesahan jangkitan. Rawatan di Klinik Kesihatan dan Hospital kerajaan diberikan percuma. Mengikut maklumat semasa, rawatan antiviral influenza berkesan jika dimulakan dalam tempoh 2 hari selepas gejala atau simptom jangkitan bermula. Oleh itu, kami meminta mereka yang bersimptom dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi sila segera mendapatkan rawatan daripada klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 6 September 2009

Members of