Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 3 September 2009

Kes Kematian : 1
Jumlah Kematian : 73


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 266 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 293 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,211 pesakit ILI sedang dirawat di 110 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 230 pesakit (18.9%) yang telah disahkan positif H1N1.

Daripada 230 kes yang disahkan H1N1, 41 kes berada di ICU di mana 5 kes merupakan kemasukan baru, sementara 3 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 31 (75.6%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (7), obesiti (10), kanak-kanak/bayi (8), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (1) dan asma (3).

Untuk makluman, satu kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini iaitu seorang wanita berumur 25 tahun tanpa co-morbid dari Betong, Sarawak telah dimasukkan ke Hospital Betong pada 30 Ogos 2009 kerana demam, batuk dan sakit tekak selama 5 hari. Beliau ada mendapatkan 3 rawatan pesakit luar di hospital yang sama bagi simptom yang sama sebelumnya. Pada 31 Ogos 2009, kes dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan rawatan antiviral dimulakan. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 1 September 2009 atas sebab severe pneumonia with H1N1 infection. Kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 3 September 2009.

Kementerian Kesihatan mendapati ramai mereka yang mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sakit tekak masih berkunjung ke tempat-tempat yang terdapat ramai orang sama ada untuk membeli belah, hiburan dan keramaian. Mereka ini sepatutnya berehat di rumah dan sekiranya terpaksa juga keluar, hendaklah memakai topeng muka bagi mencegah penularan jangkitan virus influenza ini.

Kementerian Kesihatan juga mendapati masih ramai lagi orang awam yang tidak faham cara virus ini merebak. Virus influenza A(H1N1) merebak atau berjangkit daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin). Sekiranya kita memahami cara virus ini merebak, maka lebih mudah untuk kita mengambil langkah-langkah pencegahan. Justeru, apabila kita mengetahui seseorang individu itu mengalami simptom influenza-like illness ILI, perlulah kita menjauhinya untuk mengelak dari mendapat jangkitan. Individu yang mempunyai simptom juga mesti mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain) apabila berurusan dengan orang lain. Ini termasuklah mereka yang menjalani pengasingan di rumah.

Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memberi kerjasama secara berterusan serta mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera sekiranya ada mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan influenza A(H1N1). Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 dan 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan ke alamat email cprc_h1n1@moh.gov.my. Maklumat terkini juga boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 3 September 2009

Members of