Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 17 September 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 76


Pada hari ini, sejumlah 156 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 189 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 881 orang. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, 141 pesakit (19%) telah disahkan positif H1N1.

Sementara itu, 30 (18%) kes sedang dirawat di ICU dimana tiada kemasukan baru, sementara 7 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 30 kes yang sedang dirawat di ICU, 23 kes (77%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (7), penyakit respiratori kronik (3), obesiti (6), kanak-kanak bawah 5 tahun (5) dan hamil (2).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) pada hari ini.


Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menarik perhatian orang ramai semasa fasa mitigasi penyakit influenza A(H1N1) ini, semua pelawat yang datang dari luar negara tidak perlu lagi mengisi borang deklarasi kesihatan. Namun begitu, pelawat yang datang serta mereka yang pulang dari negara-negara endemik dengan Penyakit Yelllow Fever masih perlu mengisi borang deklarasi kesihatan. Sementara itu, saringan suhu badan di pintu masuk diteruskan kerana risiko jangkitan penyakit influenza A(H1N1) masih boleh berlaku semasa di luar negara dan pemberian health alert card penyakit influenza A(H1N1) juga diteruskan bertujuan memperingatkan tindakan yang perlu diambil sekiranya mengalami gejala influenza-like illness (ILI).


Dalam kesibukan kita membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran, Kementerian Kesihatan ingin menasihati orang ramai agar terus mengamalkan langkah kebersihan diri, tidak berlengah dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan influenza A(H1N1).

Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut, Kementerian Kesihatan juga menyarankan orang ramai dan pihak pengurusan pasaraya atau pusat membeli-belah agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
Pihak pengurusan pasaraya atau pusat membeli-belah digalakkan untuk menyedia kemudahan mencuci tangan (hand sanitizer) disamping menjaga kebersihan persekitaran. Pihak pengurusan juga dikehendaki menyediakan tempat membuang sampah yang mencukupi bagi pembuangan tisu dan mask yang telah digunakan. Langkah-langkah ini dapat membantu membendung penularan H1N1 di kalangan pengunjung-pengunjung semasa membeli-belah bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri.

Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan) di mana-mana sahaja berada termasuk ketika membeli belah, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri khususnya mencuci tangan sekerap mungkin dan menggunakan tisu apabila batuk dan bersin serta memastikan tisu yang digunakan dibuang ke dalam tong sampah.

Individu yang mempunyai gejala selesema seharusnya tidak pergi ke tempat awam. Sekiranya terpaksa berada di tempat tersebut, pastikan sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan tangan serta membuang tisu yang kotor ke dalam tong sampah. Topeng mulut dan hidung yang telah digunakan juga perlu dibuang ke dalam tong sampah.

Individu bergejala selesema yang menggunakan pengangkutan awam mahupun kenderaan sendiri hendaklah sentiasa memakai topeng mulut dan hidung serta mengamalkan adab batuk di sepanjang perjalanan.

Sepanjang berada di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri daripada orang lain, sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

Sekiranya mempunyai gejala selesema terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, sila dapatkan rawatan daripada klinik atau hospital dengan segera.

Sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.
Maklumat serta perkembangan terkini jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Maklumat berkaitan juga boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 September 2009

Members of