Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1)-11 September 2009



Kes Kematian : 1
Jumlah Kematian : 74


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 198 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 190 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,104 ILI sedang dirawat di 101 buah hospital termasuk 8 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 261 pesakit (23.6%) telah disahkan positif H1N1.

Daripada 261 kes yang telah disahkan H1N1, 41 kes berada di ICU di mana 8 kes merupakan kemasukan baru, sementara 6 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 32 (78%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (13),penyakit respiratori kronik (1), obesiti (9), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (1).

Untuk makluman, satu kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini iaitu seorang lelaki berumur 19 tahun merupakan orang kurang upaya dari Gerik, Perak. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Gerik pada 19 Ogos 2009 kerana demam, batuk, sakit tekak dan muntah selama 4 hari. Pada 20 Ogos 2009, kes dirujuk ke Hospital Ipoh untuk rawatan pakar dimana rawatan antiviral dimulakan. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 23 Ogos 2009 kerana komplikasi paru-paru atas sebab Acute Pulmonary Oedema with underlying Influenza A H1N1 infection. Kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 28 Ogos 2009.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa mereka yang bergejala influenza-like illness (ILI) perlu mendapatkan rawatan daripada klinik atau hospital berhampiran dan mengurangkan pergaulan dengan individu sihat serta mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan terutama selepas batuk dan bersin seperti yang dinasihatkan oleh doktor. Berikut adalah langkah pencegahan yang boleh mengurangkan penularan influenza-like illness (ILI) dalam komuniti:

Menutup mulut ketika bersin dan batuk.

Menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap setiap kali selepas batuk dan bersin.

Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala ILI.

Mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak
Merujuk kepada pertanyaan orang ramai di hotline berkaitan vaksin saya ingin menyatakan di sini bahawa sehingga kini masih belum ada vaksin di pasaran untuk melindungi seseorang daripada Influenza A(H1N1). Vaksin ini masih di peringkat ujian klinikal dan Malaysia akan mendapatkan bekalan pertama vaksin sebaik sahaja ianya dipasarkan. Pada masa ini, sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah, adalah diwajibkan mengambil vaksin Seasonal Flu dan Meningitis.
Berkaitan dengan antiviral pula, golongan yang berisiko tinggi boleh memperolehinya di mana-mana klinik atau hospital. Bagaimanapun, anda digalakkan untuk mengunjungi Klinik Cegah & Rawat Influenza A (H1N1) seperti yang tertera di laman web http://h1n1.moh.gov.my yang boleh menawarkan antiviral tersebut pada harga yang berpatutan berbanding di klinik atau hospital lain.
Sehubungan dengan menjelangnya Hari Raya tidak lama lagi, mereka yang mempunyai gejala influenza-like illness (ILI) diminta jangan pergi ke tempat-tempat membeli-belah kerana boleh menjangkiti orang yang sihat. Namun sekiranya perlu juga keluar rumah, anda perlu memakai mask bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain. Mereka perlulah mengamalkan kebersihan diri dengan memastikan semua kertas tisu muka yang kotor hendaklah dibuang ke dalam tong sampah supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan. Bagi golongan yang berisiko tinggi, mereka diminta memakai mask jika ingin membeli-belah di tempat-tempat awam.
Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 11 September 2009

Members of