Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 2 September 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 72


Dimaklumkan sehingga 2 September 2009 jam 9.00 pagi, sejumlah 87 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 160 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,238 pesakit ILI sedang dirawat di 106 buah hospital termasuk 12 hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, seramai 264 pesakit (21.3%) yang telah disahkan positif H1N1.

Daripada 264 kes yang disahkan H1N1, 39 kes berada di ICU di mana 2 kes merupakan kemasukan baru, sementara 9 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (74%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (11), obesiti (8), kanak-kanak/bayi (4), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (2) dan asma (2).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Saya ingin mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau kesihatan anak-anak mereka terutama bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada minggu hadapan. Sila pastikan anak-anak yang berisiko seperti yang mengidap asma perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang disarankan untuk mengelak dari dijangkiti influenza A (H1N1).

Selain dari itu orang ramai yang ada gejala juga mesti mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain) apabila berurusan dengan orang lain. Selain itu, elakkan dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dan padat dengan orang ramai termasuk majlis-majlis perjumpaan.

Daripada pengamatan pihak kesihatan, didapati masih ramai masyarakat yang tertumpu di kawasan yang sesak seperti pusat membeli belah, termasuk gerai-gerai di kaki lima bangunan di semua bandar tanpa memakai penutup muka. Walaupun mereka tidak menunjukkan simptom virus influenza A H1N1, namun mereka berpotensi dijangkiti virus ini daripada mereka yang mempunyai simptom. Justeru, orang ramai perlu berhati-hati, lebih-lebih lagi ketika membawa anak kecil.

Bagi mereka yang menjalani pengasingan di rumah kerana mempunyai gejala influenza-like illness (ILI) juga mesti mengamalkan social distancing ini apabila berurusan dengan ahli keluarga masing-masing.

Maklumat semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 dan juga laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Di saat penularan jangkitan influenza A(H1N1) yang semakin meningkat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon orang ramai agar terus memberi kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak ini.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 2 September 2009

Members of