Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 13 September 2009


Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 74


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 231 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 166 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1048 ILI sedang dirawat di 106 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 255 pesakit (24.3%) telah disahkan positif H1N1.

Daripada 255 kes yang telah disahkan H1N1, 42 kes sedang dirawat di ICU di mana 7 kes merupakan kemasukan baru, sementara 4 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 34 (81.0%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (14),penyakit respiratori kronik (3), obesiti (8), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (1).

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Merujuk kepada pertanyaan orang ramai di hotline berkaitan hospital yang menjalankan ujian dan rawatan H1N1, saya ingin menjelaskan bahawa swab tekak hanya dilakukan bagi kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja. Bagi kes-kes yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar, rawatan yang diberikan tidak memerlukan ujian pengesahan.
Memandangkan Hari Raya semakin hampir, ramai orang yang akan pulang ke kampung menggunakan pengangkutan awam. Oleh itu, anda adalah digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer) di mana-mana sahaja berada termasuk ketika membeli belah, menaiki kenderaan awam atau beraya di rumah sanak-saudara dan rakan.
Bagi mengurangkan penularan Influenza A H1N1, individu yang mempunyai gejala selesema mahupun golongan berisiko disarankan sebaik-baiknya menggunakan kenderaan sendiri.Walaubagaimanapun jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda sentiasa memakai penutup mulut dan hidung. Amalkan kebersihan tangan pada setiap masa sepanjang perjalanan dan pastikan semua kertas tisu muka yang kotor dibuang ke dalam tong sampah yang ditutup supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan. Setibanya di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri dari orang lain. sentiasa memakai topeng mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri.

Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 13 September 2009

Members of