Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1)-10 September 2009









Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 73

Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 75 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 154 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,096 ILI sedang dirawat di 104 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 257 pesakit (23%) telah disahkan positif H1N1.

Daripada 257 kes yang telah disahkan H1N1, 39 kes berada di ICU di mana 3 kes merupakan kemasukan baru, sementara 5 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 30 (77%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit respiratori (Asma, COAD) (4), Diabetes Mellitus (6), penyakit ginjal kronik (0), penyakit immunosuppressive (1), penyakit neurologi kronik (1), wanita hamil (1), obesiti (11) dan kanak-kanak bawah 5 tahun (6).

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa mereka yang bergejala influenza-like illness (ILI) perlu mendapatkan rawatan daripada klinik atau hospital berhampiran dan mengurangkan pergaulan dengan individu sihat serta mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan terutama selepas batuk dan bersin seperti yang dinasihatkan oleh doktor. Berikut adalah langkah pencegahan yang boleh mengurangkan penularan influenza-like illness (ILI) dalam komuniti:

Menutup mulut ketika bersin dan batuk.

Menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap setiap kali selepas batuk dan bersin.

Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala ILI.

Mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak
Merujuk kepada pertanyaan orang ramai di hotline berkaitan keberkesanan ujian rapid test influenza A. Untuk makluman sensitiviti ujian inj hanya sekitar 60-80% sahaja. Ini bermakna jika keputusan ujian negatif tidak bermakna seseorang itu tidak dijangkiti influenza A (20-40%). Tiada kewajiban dan keperluan untuk mendapatkan ujian ini jika seseorang disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1).

Sehubungan dengan menjelangnya Hari Raya tidak lama lagi, mereka yang mempunyai gejala influenza-like illness (ILI) diminta jangan pergi ke tempat-tempat membeli-belah kerana boleh menjangkiti orang yang sihat. Namun sekiranya perlu juga keluar rumah, anda perlu memakai mask bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain. Mereka perlulah mengamalkan kebersihan diri dengan memastikan semua kertas tisu muka yang kotor hendaklah dibuang ke dalam tong sampah supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan. Bagi golongan yang berisiko tinggi, mereka diminta memakai mask jika ingin membeli-belah di tempat-tempat awam.
Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 10 September 2009

Members of