Advertisement

Archives

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 14 Ogos 2009 - Update 7


Untuk makluman, terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di ICU. Daripada 27 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4),kanak-kanak (2), hamil (1) dan post-delivery (1). Terdapat sejumlah 5 kematian yang dilaporkan.

Empat(4) daripada kes kematian mempunyai faktor risiko, iaitu obes, diabetes dan TB paru-paru (1 kes ), Diabetes(1 kes) dan bayi (2 kes). Untuk makluman, 5 kematian tersebut berlaku pada 8 Ogos (1kes),11 Ogos (2 kes) dan 12 Ogos (2 kes). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:

Seorang bayi lelaki berumur 2 bulan merupakan seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan iaitu pada usia kandungan 27 minggu, dimasukkan ke hospital pada 3/8/09 kerana demam, batuk, selsema dan susah bernafas selama tiga hari. Keadaan bayi semakin teruk dan telah diventilasi. Swab tekak telah diambil dan rawatan antiviral telah diberikan pada 6/8/2009. Bayi meninggal dunia pada 12/8/2009 dan ujian Influenza A(H1N1) adalah positif. Penyebab kematian adalah pneumonia.

Seorang lagi bayi berumur 2 bulan dimasukkan ke hospital pada 7/8/2009 setelah didapati berada dalam keadaan tidak memberikan tindakbalas serta pucat. Sebelum dari itu, bayi tersebut telah mula meragam dan kurang minum susu semenjak 5/8/2009 tetapi tidak mempunyai demam, batuk atau sesak nafas. Keadaan bayi adalah kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawaan Rapi. Keputusan ujian Influenza A(H1N1) didapati positif pada 8/8/2009, walaubagaimanapun, bayi tersebut telah meninggal dunia pada hari yang sama. Sebab Myocarditis, hepatitis and renal impairment related to H1N1.

Seorang wanita berumur 49 tahun, selain dari obes, beliau mempunyai diabetes dan dikesan juga mempunyai tuberkulosis. Beliau mula mendapat demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas pada pertengahan bulan Julai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital pada 29/7/2009 setelah tidak pulih walaupun telah mendapatkan rawatan dari klinik swasta. Beliau yang dirawat sebagai pneumonia telah di benarkan pulang pada 3/8/2009, walaubagaimanapun dimasukkan semula ke wad pada 7/8/2009 untuk rawatan tuberculosis setelah dikesan mempunyai penyakit tersebut. Bilau kemudiannya disyaki H1N1 dah telah diberi antiviral pada 8/8/2009. Keadaan pesakit bertambah teruk dan meninggal dunia pada 11/8/2009. Sebab kematian adalah pneumonia teruk. Walaubagaimanapun, keputusan ujian bagi Influenza A(H1N1) yang diterima pada 11/8/2009 didapati positif.

Seorang lelaki berumur 57 tahun dan mempunyai diabetes. Mula mendapat simptom batuk dan selesema pada 2/7/2009 tetapi tidak sembuh setelah mendapatkan rawatan. Pada 3/8/2009, sekali lagi pesakit pergi mendapatkan rawatan di klinik setelah mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan seterusnya dirujuk dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama di mana beliau telah diberikan rawatan anti-viral. Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada 5/8/2009 dan beliau telah meninggal dunia pada 12/8/2009 akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Seorang lelaki berumur 19 tahun, dimasukkan ke wad pada 7/8/2009 setelah demam dan batuk selama dua (2) hari dan telah diberikan rawatan antiviral. Ujian bagi Influenza A(H1N1) didapati positif pada keesokan harinya. Beliau telah mendapat sesak nafas teruk dan meninggal dunia pada 11/8/2009 akibat pneumonia.
Jumlah kematian telah melibatkan bilangan yang tinggi iaitu 56 kes. Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan(70%) di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40% didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13% kematian, didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan. Oleh yang demikian saya berpendapat, ada diantara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Kadar penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan. Saya meminta orang awam terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza mengambil tindakan yang berikut :

Mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan ke dalam komuniti. Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat dirumah sehingga sembuh. Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A(H1N1). Guru besar atau Ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas. Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik. Mereka yang tidak mempunyai simptom boleh meneruskan aktiviti harian mereka di sekolah ataupun tempat kerja seperti biasa.

Saya menasihatkan semua ibubapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.
Orang ramai terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03- 88810200 dan 03- 88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 14 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 13 Ogos 2009 - Update 6



Untuk makluman, terdapat seramai 51 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 29 lagi dirawat di ICU. Daripada 29 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 16 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (12), obesiti (2), hamil (1) dan post-delivery (1). Terdapat sejumlah 7 kematian yang dilaporkan.

Untuk makluman, 7 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu di antara 7 – 11 Ogos 2009. Kesemua mereka didapati mempunyai faktor risiko samada diabetes, hipertensi, penyakit jantung, imuniti yang rendah atau penyakit kongenital. Tujuh (7) kematian tersebut berlaku pada tarikh berikut; 7 Ogos (1 kematian), 10 Ogos (2 kematian) dan 11 Ogos (4 kematian). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:-

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 bulan mempunyai tahap imuniti yang rendah dimasukkan ke hospital pada 8/8/09 kerana demam, batuk, susah bernafas, muntah dan cirit birit selama 2 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi pada 9/8/09. Beliau telah meninggal dunia pada 10/8/09 dan kematian disebabkan oleh severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 11/8/09.

Seorang wanita berumur 37 tahun, mempunyai sejarah diabetis, dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam dan batuk selama 3 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi 9/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 akibat daripada severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 11/8/09.

Seorang wanita berumur 69 tahun dan mempunyai hipertensi. Mula mendapat simptom batuk dan susah bernafas pada 2/8/09. Beliau dimasukkan ke CCU 3/8/09 kerana sesak nafas. Sampel swab tekak telah diambil pada 10/8/09 dan disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada hari yang sama (10/8/09). Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 kerana “acute myocarditis” akibat jangkitan influenza A(H1N1).

Seorang wanita berumur 26 tahun, dan mempunyai penyakit kongenital. Mula mendapat simptom demam dan batuk pada 6/8/09. Beliau mendapatkan rawatan di hospital pada 8/8/09 dan dimasukkan ke wad serta diberi antiviral pada hari yang sama. Swab tekak telah diambil pada 8/8/09 dan sahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada hari yang sama. Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 10/8/09 kerana mengalami “severe bronchopneumonia”.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun dan mengalami penyakit kongenital. Mendapat rawatan di klinik pada 2/8/09 batuk, sakit tekak dan selsema selama satu hari. Dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital akibat sesak nafas pada 6/8/09. Swab tekak diambil dan rawatan antiviral telah dimulakan pada awal 7/8/09 jam 00:30 pagi. Disahkan meninggal dunia dan mendapat jangkitan influenza pada 7/8/09 jam 04:58 akibat pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang wanita berumur 92 tahun merupakan pengidap asthma. Mengalami demam dan susah bernafas sejak 6/8/09 dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama. Swab tekak diambil dan antiviral diberikan pada 9/8/09. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 kerana mengalami “severe pneumonia”.

Seorang lelaki berumur 43 tahun merupakan pengidap diabetes, hipertensi dan penyakit injap jantung. Beliau dimasukkan ke wad pada 6/8/09 kerana demam, batuk dan sakit tekak selama 4 hari. Swab tekak diambil dan antiviral diberi pada 6/8/09. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 8/8/09. Beliau meninggal dunia pada 11/8/09 akibat severe pneumonia.

Saya menasihatkan semua ibubapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

Seperti yang telah dinyatakan di dalam kenyataan akhbar YBMK semalam, tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir. Sekolah tidak semestinya ditutup apabila berlaku kejadian influenza-like illness (ILI) di kalangan pelajar atau guru. Mereka ini sepatutnya diminta pulang ke rumah masing-masing dan mendapatkan rawatan segera. Mereka juga tidak perlu hadir kelas sehingga simptom berakhir. Aktiviti pembelajaran di sekolah atau institusi terbabit diteruskan seperti biasa. Walau bagaimanapun, tindakan penutupan boleh diambil oleh pihak sekolah/institusi jika kehadiran pelajar amat merosot dan menggangu aktiviti pembelajaran.

Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 13 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 12 Ogos 2009 - Update 5


Untuk makluman, terdapat seramai 76 pesakit sedang dirawat di hospital dan 21 lagi dirawat di ICU. Daripada 21 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 12 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (1) dan post-delivery (1). Seramai 86 orang telah didiscaj dari hospital semalam. Terdapat sejumlah 6 kematian yang dilaporkan.

Untuk makluman, 6 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu dan telah mendapat jangkitan influenza A(H1N1) di antara 6 – 9 Ogos 2009 dan dilaporkan pada 11 Ogos 2009 sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Empat (4) daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau obes. Tarikh kematian sebenar 6 kes tersebut adalah seperti berikut, 7 Ogos(4 kematian), 9 Ogos(1 kematian) dan 10 Ogos(1 kematian). Maklumat ringkas kematian adalah seperti berikut:-

Seorang lelaki berumur 60 tahun, mempunyai sejarah diabetes, hipertensi dan masalah jantung dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam dan batuk selama 3 hari. Swab tekak dan antiviral diberi pada 6/8/09. Beliau telah meninggal dunia pada 7/8/09 dan kematian disebabkan oleh severe pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang lelaki berumur 62 tahun, mempunyai sejarah diabetes, dimasukkan ke hospital pada 6/8/09 kerana demam selama 1 hari. Mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan pemeriksaan mendapati pesakit kurus dan mengalami dehidrasi dan rawatan antiviral telah dimulakan. Sampel sapuan tekak telah diambil pada 7/8/09 dan meninggal dunia pada hari yang sama akibat daripada severe pneumonia dan kemungkinan menghidapi barah. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 9/8/09.

Seorang lelaki berumur 24 tahun, tiada sejarah dan risiko penyakit. Mula mendapat simptom demam, batuk dan sakit tekak pada 1/8/09 dan hanya mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan terus dimasukkan ke wad kerana sesak nafas dan rawatan antiviral telah dimulakan. Sampel sapuan tekak telah diambil pada 7/8/09 iaitu pada tarikh yang sama pesakit meninggal dunia. Penyebab kematian adalah severe pneumonia dan septicemia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09.

Seorang bayi perempuan berumur 10 bulan, tiada sejarah penyakit kongenital. Mula mendapat simptom demam dan batuk pada 1/8/09 dan hanya dibawa mendapatkan rawatan pada 6/8/09 di Hospital dan terus dimasukkan ke wad kerana sesak nafas. Rawatan antiviral tidak diberikan dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 6/8/09 dan telah disahkan meninggal dunia pada 7/8/09 kerana mengalami severe bronchopneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 8/8/09.

Seorang suri rumah berumur 18 tahun dan mengandung 26 minggu dan mempunyai co-morbid iaitu obesiti. Mula mendapat simptom batuk, sakit tekak dan selesema pada 3/8/09 dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan pada hari yang sama. Walau bagaimanapun keadaan bertambah teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital akibat sesak nafas pada 7/8/09. Rawatan antiviral telah dimulakan pada hari yang sama dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 9/8/09. Disahkan meninggal dunia dan mendapat jangkitan influenza pada 10/8/09. Penyebab kematian ialah severe pneumonia.

Seorang bayi lelaki berumur 12 bulan dan disahkan mengalami penyakit jantung kongenital dan baru menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sebelum di rujuk ke Hospital untuk rawatan lanjut pada 7/8/09. Pada hari yang sama mendapat demam dan sawan. Rawatan antiviral tidak diberikan dan sampel sapuan tekak telah diambil pada 8/8/09 dan disahkan meninggal dunia pada 9/8/09 kerana mengalami komplikasi pembedahan jantung dan jangkitan pneumonia. Disahkan mendapat jangkitan influenza A(H1N1) pada 10/8/09.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza Bil. 11/2009 yang diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memutuskan perkara-perkara berikut:-

Rawatan Antiviral Influenza

Semua pesakit yang bersimptom influenza dan mempunyai risiko adalah diminta segera mendapat rawatan antiviral influenza di mana-mana hospital atau klinik yang berdekatan. Di fasiliti kerajaan rawatan adalah percuma.

Individu yang sakit dengan simptom influenza, tidak termasuk dalam golongan berisiko tetapi mempunyai demam yang tinggi dan berpanjangan (lebih 2 hari) juga akan diberikan rawatan. Oleh itu mereka perlu memantau simptom demam yang berpanjangan untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Bagi mereka yang tidak termasuk di dalam golongan (a) dan (b) di atas, dan telah menjalani ujian “rapid test” serta positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam. Simptom yang dimaksudkan adalah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, cirit-birit atau muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau rasa pening kepala apabila berdiri.

Pandemik influenza A telah memasuki fasa mitigasi, oleh itu tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan akhir. Tindakan penutupan sekolah/ institusi hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah/ institusi bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah/ institusi/ kelas. Pihak sekolah/ institusi boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Tindakan yang perlu diambil adalah:

Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala ‘infleunza like illness’ tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.

Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

Rawatan oleh Klinik dan Hospital Swasta

Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus. Untuk makluman, rawatan kes-kes ini tidak terhad kepada ‘designated’ hospital sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi juga boleh memberi rawatan.

Penutup Mulut dan Sanitizer

Saya meminta supaya pihak pengeluar, pembekal dan penjual penutup mulut dan sanitizer agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Penutup mulut dan sanitizer ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza A(H1N1) dalam masyarakat. Saya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memantau perkara ini.

Vaksin dan Tamiflu

Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa vaksin dan antiviral adalah berbeza. Antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) yang diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) yang diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan influenza A(H1N1) dan ianya bukan vaksin. Vaksin untuk Influenza A(H1N1) masih belum ada sama ada di Malaysia atau di dunia.
Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SERI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

Tarikh: 12 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 11 Ogos 2009 - Update 4

Pada 11 Ogos 2009 sejumlah 270 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 6 kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan yang terdiri daripada warga negara Malaysia.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 11 Ogos 2009 adalah sebanyak 2,253 kes dengan jumlah kematian 38 orang.

Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 56 pesakit sedang dirawat di hospital dan 19 lagi dirawat di ICU. Daripada 19 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 4 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (2), obesiti (1) dan post -delivery (1). Seramai 11 orang telah didiscaj dari hospital semalam.

Untuk makluman, 6 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada mendapat jangkitan H1N1 pada 6, 8 dan 9 Ogos 2009, dilaporkan pada 10 Ogos 2009 secara formal sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Empat (4) daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko samada Diabetes, Hipertensi atau Asma. Tarikh kematian sebenar 7 kes tersebut adalah seperti berikut, 4 Ogos (1), 6 Ogos (2) dan 7 Ogos(3).

Merujuk kepada situasi global, sehingga 11 Ogos 2009, sejumlah 208,990 kes dengan 1,716 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 835 kes dengan 28 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Saya ingin meminta orang ramai supaya sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah-langkah berikut:

Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga dinasihatkan untuk berada di rumah dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung (mask) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.

Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.

Orang ramai diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.

Penutupan sesebuah sekolah atau institusi bergantung kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi.

Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja..

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 11 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 9 Ogos 2009 - Update 3


Pada 9 Ogos 2009 sejumlah 202 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 8 kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan yang terdiri daripada warga negara Malaysia.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 9 Ogos 2009 adalah sebanyak 1,780 kes dengan jumlah kematian 26 orang.

Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 63 pesakit sedang dirawat di hospital dan seramai 13 lagi dirawat di ICU. Daripada 13 kes tersebut, yang berada di Unit Rawatan Rapi, 4 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), post -delivery (1) dan bayi (1).

Untuk makluman, 8 kematian yang dimaksudkan hanya satu(1) kematian yang berlaku pada 8 Ogos 2009, manakala yang lain adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada mendapat jangkitan H1N1 pada 7 Ogos 2009 dan dilaporkan pada 8 Ogos 2009 secara formal sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Kesemua 8 kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko. Tarikh kematian sebenar 8 kes tersebut adalah seperti berikut 3 Ogos(1), 5 Ogos(2), 6 Ogos(4) dan 8 Ogos(1).

Merujuk kepada situasi global, sehingga 9 Ogos 2009, sejumlah 207,089 kes dengan 1,588 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 1175 kes dengan 20 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Saya ingin meminta orang ramai supaya sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah-langkah berikut:

Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.’.

Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga dinasihatkan untuk berada di rumah dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung ( mask ) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.

Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.

Orang ramai diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.

Penutupan sesebuah sekolah atau institusi bergantung kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi.

Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 9 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 8 Ogos 2009 - Update 2

Pada 8 Ogos 2009 sejumlah 53 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 3 kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan dan di kalangan warga negara Malaysia. Daripada 53 kes yang dilaporkan hari ini, 24 merupakan kejadian dari 5 kluster baru dan 2 kluster lama, sementara 29 adalah kes sporadikatau terpencil. Disamping itu sebanyak 40 kluster influenza-like illness telah dilaporkan di mana lima telah disahkan positif influenza A(H1N1).

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 8 Ogos 2009 adalah sebanyak 1,578 kes dengan jumlah kematian 18 orang. Daripada 1,578 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (36%) merupakan kes import dan 1,004 (64%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,498 kes (95%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 14 orang. Seramai 64 pesakit sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi manakala 25 orang menerima rawatan pesakit luar.

Daripada 14 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post -delivery (1) dan bayi (2).

Maklumat mengenai kes-kes kematian adalah seperti berikut:

Kematian ke-16, adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun yang telah mula mendapat gejala ‘upper respiratory tract infection’ dan telah mendapat rawatan di klinik swasta pada 3/8/09. Beliau mengalami sawan pada 4/8/09 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan. Ujian makmal pada 5/8/09 mengesahkan kes mendapat jangkitan influenza A(H1N1). Kes meninggal dunia pada 7/8/09 disebabkan oleh ‘Acute Encephalitis secondary to Influenza A(H1N1)’.

Kematian ke-17, adalah seorang kanak-kanak berumur satu tahun empat bulan dan mempunyai sejarah penyakit Hypothyroidism dan sedang dalam rawatan. Beliau mula menghidap gejala demam, batuk dan selsema pada 28/7/09 namun tidak mendapatkan rawatan di klinik. Beliau hanya berjumpa doktor klinik swasta pada 2/8/09 dan terus dirujuk ke hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu pada hari yang sama kerana muntah, kurang selera makan dan sukar bernafas. Pesakit disahkan positif influenza A(H1N1) pada 4/8/09. Selepas lima hari berada di hospital, pesakit menjadi lebih teruk dengan gejala ‘drowsiness, lethargy dan altered consciousness’ dan dipindahkan ke wad rawatan rapi dengan bantuan pernafasan pada 6/8/09. Walau bagaimanapun keesokkan harinya keadaan pesakit menjadi teruk dan meninggal dunia pada 7/8/09 akibat ‘severe pneumonia with underlying H1N1 infection’.

Kes yang ke-18 ialah seorang lelaki berumur 63 tahun (pengidap Asma dan sejarah penyakit Tibi), dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang pada 2/8/09 kerana sesak nafas teruk. Beliau disahkan positif H1N1 dan Tibi pada 4/8/09. Beliau meninggal dunia pada 6/08/09 disebabkan oleh ‘Severe Pneumonia with positif influenza A(H1N1) with underlying pulmonary TB’. Si-mati mula mendapat demam, batuk dan selsema sejak 29/7/09 dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 31/7/09 sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 8 Ogos 2009, sejumlah 205,914 kes dengan 1,568 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 4233 kes dengan 15 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Orang ramai diminta mengambil tindakan yang tepat!

Orang yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Mereka ini akan diberikan rawatan anti-viral tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

Orang ramai yang tidak tergolong dalam kumpulan ini tetapi mempunyai simptom yang ringan diminta supaya tidak berasa cemas. Kebanyakan orang akan sembuh sepenuhnya dengan mengambil langkah-langkah berikut :

Makan ubat demam mengikut sukatan yang disyorkan
Banyak minum air
Pastikan pengudaraan yang baik di rumah
Amalkan cara hidup yang sihat termasuk tidak merokok, makan secara sihat dan lakukan aktiviti fizikal.

Bagi mereka yang berisiko tinggi dan juga bersimptom ringan, dinasihatkan untuk berada di rumah dan kurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga. Mereka perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik. Jika terpaksa pergi ke tempat-tempat awam, mereka mesti memakai penutup mulut dan hidung ( mask ) jenis ‘three ply’. Amalan-amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.

Semasa berehat di rumah beri perhatian kepada tanda-tanda amaran kecemasan (Lampiran 2). Dapatkan rawatan HANYA apabila anda mengalami tanda-tanda tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia memberi perkhidmatan yang berkesan.
Makluman kepada orang awam:

Hanya kes-kes yang dimasukkan ke hospital dengan gejale-gejala serius seperti masalah pernafasan batuk berkahak, dada berterusan dan lain-lain akan disaring untuk influenza A(H1N1).

Waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03 88810200 dan 03­88810300. Bagi mereka yang memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 8 Ogos 2009

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 6 Ogos 2009-Update 1


Pada 6 Ogos 2009 sejumlah 16 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan dan semua kes adalah kes tempatan. Enam belas (16) kes adalah warga negara Malaysia. Daripada 16 kes yang dilaporkan hari ini, 5 merupakan kejadian dari 2 kluster baru dan 11 kes sporadik atau terpencil. Dilaporkan terdapat tiga (3) kematian dari kes yang dilaporkan pada 2 Ogos dan 4 Ogos 2009 dan kesemua adalah kes sporadik.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 6 Ogos 2009 jam 8.00 pagi adalah sebanyak 1,492 kes dengan jumlah kematian 14 orang. Daripada 1,492 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (38%) merupakan kes import dan 918 (62%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,421 kes (95%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 11 orang. Manakala 43 kes sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Daripada 11 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post -delivery (1) dan bayi (2).

Daripada 16 kes baru yang dilaporkan, sembilan (9) kes dirawat di wad dan 7 orang menerima rawatan pesakit luar.

Maklumat mengenai tiga (3) kes kematian adalah seperti berikut:

Kematian ke-duabelas, kes adalah seorang budak lelaki berumur 6 tahun yang dimasukkan ke Hospital Batu Pahat pada 24 Julai 2009. Beliau mula menunjukkan gejala demam dan batuk pada 24 Julai 2009 dan dimasukkan ke hospital swasta. Pesakit dirujuk ke Hospital Batu Pahat pada 30 Julai 2009 kerana mengalami jangkitan radang paru-paru teruk (worsening pneumonic changes) dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 1 Ogos 2009 dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi ICU dengan bantuan pernafasan (ventilator) dan meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dengan diagnosa H1N1 pneumonia.

Kematian ke-tiga belas, kes adalah seorang budak lelaki berumur 6 tahun dengan gejala demam, sakit tekak dan selsema pada 24 Julai 2009 telah mendapat rawatan di klinik swasta. Pesakit telah mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 31 Julai 2009. Kes disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 2 Ogos 2009 dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi pada 31 Julai. Pesakit meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 jam 12.45 petang.

Seorang pesara lelaki yang berumur 57 tahun yang mengidap penyakit diabetes dan hypertension dimasukkan ke unit rawatan rapi ICU Hospital Putrajaya pada 4 Ogos 2009 dengan riwayat demam, batuk dan sesak nafas. Kes telah disahkan jangkitan H1N1 pada 5 Ogos 2009. Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 2009 akibat dari Acute Pulmonary Oedema secondary to H1N1.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 6 Ogos 2009, sejumlah 199,146 kes dengan 1,446 kematian telah dilaporkan daripada 171 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 5460 kes dengan 85 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Saya ingin sekali lagi menegaskan di sini bahawa

Seperti yang ditetapkan oleh JK Teknikal, semua ujian pengesahan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan HANYA akan dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke wad sahaja. Orang awam diminta jangan panik, mereka yang ada gejala ILI diminta berehat di rumah dan mematuhi nasihat kesihatan.

Semua pesakit yang tergolong dalam kategori berisiko seperti ibu mengandung, obes, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung, adalah diminta mendapat pemeriksaan segera di hospital.

Untuk mereka yang mengalami ILI ringan ujian pengesahan H1N1 adalah TIDAK perlu. Untuk makluman Institut Penyelidikan Perubatan menerima 300-500 permohonan ujian H1N1 dalam sehari, tetapi kebanyakannya adalah negatif (80%-90%). Perkara ini membebankan dan membazir. Ini mengukuhkan lagi saranan kita bahawa mereka yang bergejala ringan tidak perlu membuat ujian H1N1. Kita minta kerjasama dari hospital swasta supaya menghantar kes-kes yang benar-benar disyaki H1N1 untuk ujian pengesahan.

Semua hospital kerajaan dan 22 hospital swasta telah dibekalkan dengan ubat anti-viral. Sementara semua klinik kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan akan dibekalkan dengan ubat anti-viral bermula esok 7 Ogos 2009.

Klinik Swasta boleh membeli ubat anti-viral dari syarikat farmasi yang berkaitan yang telah memberi jaminan bahawa mereka mempunyai stok yang mencukupi.

Pegawai Farmasi diminta supaya tidak menjual ubat anti-viral dengan sewenang-wenangnya tanpa preskripsi. Pengamal perubatan juga diminta untuk TIDAK memberi ubat antiviral sebagai ‘prophylaxis’ dan perlu mengikut indikasi dan garis panduan yang ditetapkan . Untuk prophylaxis, ianya tidak berkesan di samping kesan sampingan yang boleh dihasilkan dan juga boleh membawa pembentukan ‘resistance’ seperti yang berlaku di Amerika, Hong Kong, Mexico, Japan, Denmark, Canada, yang mana akan menyusahkan kepada mereka dan juga orang lain.

Untuk anggota perubatan dan kesihatan sama ada di sektor kerajaan atau swasta, mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan memberi perhatian serius kepada ‘infection control’, termasuk PPE dan kebersihan tangan dan lain-lain
Penularan virus influenza A(H1N1) di dalam komuniti telah semakin meluas. Ia ditunjukkan oleh kehadiran ramai pesakit ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan demam dan batuk. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:

Mereka yang berisiko tinggi (ibu mengandung, obes, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung) dan sedang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit dengan jangkitan virus influenza A(H1N1) jika sekiranya rawatan dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas bermula gejala. Rawatan tidak memerlukan ujian pengesahan makmal dan bagi klinik kerajaan rawatan adalah percuma.

Selepas mendapat rawatan, pesakit adalah perlu berada di rumah dan mengurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik. Amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang mengalami gejala ringan jangkitan influenza A(H1N1) yang telah dinasihatkan oleh doktor untuk duduk di rumah perlu mematuhi nasihat tersebut kerana amalan ini boleh mencegah perebakan virus influenza ini kepada orang lain. Jika terpaksa pergi ke tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti memakai topeng muka atau mask jenis ‘three ply’ yang didapati boleh mencegah penularan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang telah dinasihatkan untuk duduk di rumah semasa rawatan agar sentiasa memantau tahap kesihatan sendiri. Sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam yang berterusan, sakit dada, sesak nafas, atau `altered conciousness’ sila segera mendapatkan rawatan di hospital.

Orang ramai yang mengetahui wujudnya kejadian kluster influenza-liked illness (ILI) di sekolah, institusi dan komuniti, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk siasatan dan tindakan kawalan.

Terdapat majikan yang tidak menyediakan ‘mask’ bila terdapat keperluan untuk pekerja mereka. Majikan hendaklah sama-sama membantu menyediakan ‘mask’ bagi pekerja-pekerjanya apabila keadaan memerlukan, sebagai salah satu ‘sosial obligation’ serta keprihatinan terhadap pekerja masing-masing.
Adalah dimaklumkan waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Bagi mereka yang memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 6 Ogos 2009

Video Pencegahan Influenza A (H1N1)

Members of