Advertisement

gravatar

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) - 4 September 2009

Kes Kematian : Tiada
Jumlah Kematian : 73


Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 68 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 103 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,176 pesakit ILI sedang dirawat di 108 buah hospital termasuk 12 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 236 pesakit (20.1%) yang telah disahkan positif H1N1.

Daripada 236 kes yang disahkan H1N1, 49 kes berada di ICU di mana 10 kes merupakan kemasukan baru, sementara 2 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 49 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 (67.3%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit respiratori (asma, COPD) (6); penyakit kronik seperti penyakit jantung (1), Diabetes Mellitus (4), penyakit buah pinggang (2), penyakit immunosuppressive (1); hamil (1); obesiti (9) dan kanak-kanak/bayi (9).

Untuk makluman, tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.

Berdasarkan panggilan hotline, 5 soalan yang paling kerap diterima daripada orang ramai adalah berkaitan vaksin, situasi semasa Influenza A(H1N1), simptom/gejala dan penyebaran serta langkah-langkah pencegahan.

Sehingga kini masih belum ada vaksin di pasaran untuk melindungi seseorang daripada Influenza A(H1N1). Vaksin ini masih di peringkat ujian klinikal.Orang ramai masih kurang jelas dengan simptom/gejala influenza A(H1N1). Gejala Influenza A(H1N1) adalah demam, batuk, sakit kepala, sakit sendi dan badan, selesema dan sakit tekak serta susah bernafas.

Orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

Menutup mulut ketika bersin dan batuk.

Menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap setiap kali selepas batuk dan bersin.

Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala ILI.

Mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak
Sekiranya seseorang berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema (influenza-like-illness), anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah atau mana-mana tempat awam. Individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi dan mengalami gejala influenza A(H1N1) perlu segera mendapatkan rawatan awal.

Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 dan 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan ke alamat email cprc_h1n1@moh.gov.my. Maklumat terkini juga boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 4 September 2009

Members of